Petrus Shitembi Muncul ‘Hero’, KCFC Cipta Sejarah Tempah Tiket Final Piala Malaysia
KUCHING: Skuad Kuching City FC (KCFC) mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya melangkah ke final Piala Malaysia buat kali pertama selepas menewaskan Selangor FC 1-0 dalam aksi separuh akhir kedua yang penuh dramatik di Stadium Negeri, Petra Jaya pada Sabtu.
KCFC mara dengan agregat 2-1 selepas keduanya terikat 1-1 dalam separuh akhir pertama sebelum ini.
Perlawanan berlangsung sengit seawal wisel permulaan dengan kedua-dua pasukan saling mengasak.
Peluang KCFC hampir hadir pada minit ke-11 apabila tandukan Gabriel Nistelrooy hampir membuka jaringan namun tersasar.
KCFC hampir berada di depan pada minit ke-20 menerusi pemain sayap lincah, Joao Pedro, namun percubaannya sekadar terkena tiang sebelum dinafikan kerana kedudukan ofsaid.
Penjaga gol KCFC, Haziq Nadzli turut beraksi cemerlang apabila muncul wira menafikan peluang satu lawan satu Faisal Halim dalam situasi berbahaya biarpun akhirnya ofsaid.
Stadium Negeri akhirnya gempita dengan sorakan hampir 20,000 penyokong apabila Petrus Shitembi meledak jaringan cantik pada minit ke-30 dari luar kotak penalti untuk meletakkan KCFC di hadapan.
Jaringan tersebut menyaksikan keyakinan KCFC semakin menyerlah dengan terus menggasak kubu pertahanan namun gagal menambah jaringan hingga berakhir babak pertama.
Babak kedua menyaksikan perlawanan semakin tegang dengan Selangor FC kehilangan pemain pada minit ke-50 apabila Safuwan Baharudin dilayangkan kad merah selepas mengasari Ronald Ngah Wanja dalam situasi ‘last man defender'.
Situasi ini terus dimanfaatkan dengan KCFC dengan terus mengasak di mana Ronald Ngah berjaya menanduk masuk hantaran silang Jimmy Raymond pada minit ke-60 namun jaringan tersebut dibatalkan kerana ofsaid.
Skuad lawan bertambah derita apabila giliran Mukhairi Ajmal l dilayangkan kad merah pada minit ke-62 akibat kekasaran ke atas Jimmy Raymond yang menyaksikan mereka terpaksa beraksi dengan hanya sembilan pemain.
Sorakan penyokong hampir memecah Stadium Negeri sekali lagi apabila Ramadan melakuan tendangan deras pada minit ke-68 namun rembatannya dinafikan oleh palang gol.
Walaupun memiliki kelebihan dua pemain, KCFC gagal menambah jaringan meskipun terus menguasai permainan.
Memasuki 10 minit terakhir, Selangor FC yang terdesak cuba bangkit dengan mengatur serangan, namun benteng pertahanan KCFC kekal utuh hingga wisel penamat.
KCFC bakal berdepan cabaran getir menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam perebutan trofi berprestij itu bulan depan. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: George Embie