Jaringan Jalan, Air & Elektrik Pacu Lonjakan Pembangunan Luar Bandar Sarawak
KUCHING: Jaringan jalan raya serta liputan utiliti yang semakin meluas terus menjadi pemangkin utama mempercepat pembangunan luar bandar di Sarawak, sekali gus merapatkan jurang kemudahan antara bandar dan pedalaman.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pelbagai inisiatif berimpak tinggi telah dilaksanakan, termasuk pembinaan dan penaiktarafan lebih 5,000 kilometer jalan luar bandar bagi memperkukuh akses serta jaringan perhubungan rakyat.
Menurut beliau, usaha berterusan itu turut diperkasa dengan peluasan kemudahan asas merangkumi bekalan elektrik dan air bersih yang semakin menyeluruh di seluruh negeri.
“Bagi kawasan luar bandar, kita tidak pernah melupakan pembangunan. Lebih 5,000 kilometer jalan luar bandar telah dibina dan dinaik taraf.
“Bekalan elektrik pula, kira-kira 70 peratus di Sarawak dijana daripada tenaga boleh diperbaharui.
“Bagi bekalan air, liputan kini melebihi 85 peratus di seluruh Sarawak dan hampir 100 peratus di kawasan bandar,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan aluan pada majlis perasmian Konvensyen Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Ahad.
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Premier Sarawak merangkap Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Datuk Amar Douglas Uggah yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak berkata, pelaksanaan projek infrastruktur berskala besar termasuk pembinaan jambatan memberi impak signifikan dalam memudahkan pergerakan penduduk, di samping mengurangkan kebergantungan terhadap perkhidmatan feri.
Menurutnya, Sarawak kini giat membina 20 jambatan mega dengan kos keseluruhan RM6.5 bilion.
Beliau menegaskan, pendekatan pembangunan kerajaan negeri adalah menyeluruh dan inklusif, tidak hanya tertumpu di kawasan bandar, malah memberi penekanan serius kepada luar bandar agar rakyat menikmati kemudahan yang lebih seimbang.
Dalam pada itu, beliau menambah bahawa kejayaan pelaksanaan pelbagai inisiatif tersebut didorong oleh kerjasama erat serta semangat perpaduan masyarakat berbilang kaum di Sarawak.
Menyentuh mengenai konvensyen berkenaan, beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penyelarasan Konvensyen GPS 2026 berkata, konvensyen kali kedua itu mengangkat tema “Post-COVID Development Strategy 2030: Visi Menjadi Realiti” dan menghimpunkan seramai 5,100 perwakilan dari seluruh negeri.
Ujarnya, penganjuran tersebut mencerminkan kesepaduan serta komitmen berterusan ke arah pembangunan inklusif dan masa depan Sarawak yang mampan.
Turut hadir ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Amar Fadillah Yusof, Timbalan Premier Sarawak merangkap Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Dato Sri John Sikie Tayai, Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP) Dato Sri Tiong King Sing serta tetamu kehormat lain. -EDISI UKAS
Disediakan oleh: Nur Nabilla
Foto: Ameerul Syafiq Khir