SARIKEI: Inisiatif pembiayaan perumahan oleh Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) memberi sinar kepada penduduk Rumah Angelisa di sini apabila rumah panjang tersebut kini hampir siap sepenuhnya dan dijangka didiami menjelang sambutan Gawai tahun depan.
Projek yang melibatkan 15 pintu itu menerima Skim Pinjaman Rumah Panjang berjumlah RM30,000 bagi setiap pintu, sekali gus meringankan beban kewangan penduduk dalam usaha membina kediaman baharu yang lebih selamat dan selesa.
Tuai Rumah Angelisa berkata, pembinaan semula rumah panjang tersebut menjadi titik perubahan penting kepada komuniti setempat yang sebelum ini berdepan keadaan kediaman uzur serta berisiko.
Beliau menjelaskan bahawa keadaan struktur lama bukan sahaja tidak selesa, malah menimbulkan kebimbangan dari aspek keselamatan khususnya kepada golongan rentan seperti warga emas dan kanak-kanak.
Menurutnya, pelaksanaan projek itu bukan sekadar menyediakan tempat tinggal baharu, malah meningkatkan kualiti hidup penduduk secara menyeluruh, terutama bagi golongan berpendapatan rendah di luar bandar.
Dalam pada itu, projek bernilai lebih RM200,000 tersebut dilaksanakan melalui Program Transformasi Luar Bandar (RTP) serta Projek Mesra Rakyat (PMR), selari dengan usaha kerajaan mempercepat pembangunan inklusif di kawasan pedalaman.
Beliau turut memaklumkan bahawa projek kini berada pada fasa akhir pelaksanaan, sekali gus memberi kelegaan kepada penduduk yang telah lama menantikan kediaman lebih sempurna.
Pada masa sama, peruntukan tambahan daripada Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi merangkap Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok, Dato Sri Huang Tiong Sii membantu menampung kos bahan binaan, memperkukuh lagi keberkesanan pelaksanaan projek tersebut.
Perkembangan ini memperlihatkan bahawa pendekatan berfokus Kerajaan Sarawak dalam penyediaan perumahan luar bandar bukan sahaja menyelesaikan isu kediaman uzur, malah mempercepat transformasi sosioekonomi komuniti setempat secara lebih menyeluruh dan berimpak tinggi.-EDISI UKAS