Pembangunan Rumah Panjang Terus Jadi Keutamaan Kerajaan Sarawak
SARIKEI: Pembangunan kemudahan asas di rumah panjang kekal menjadi keutamaan Kerajaan Sarawak dalam usaha mempertingkatkan kualiti hidup masyarakat luar bandar.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi merangkap Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok, Dato Sri Huang Tiong Sii berkata, komitmen tersebut diterjemahkan melalui pelaksanaan berterusan projek pembangunan yang memberi impak langsung kepada rakyat.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke beberapa rumah panjang di Sungai Seleku, Sungai Bulat dan Jalan Kim San bagi meninjau sendiri keperluan penduduk setempat, pada Sabtu.
Menurutnya, pendekatan turun padang amat penting bagi memastikan setiap projek yang dilaksanakan benar-benar menepati keperluan sebenar masyarakat luar bandar.
Beliau menjelaskan bahawa kerajaan melalui inisiatif seperti Program Transformasi Luar Bandar (RTP) akan terus mempergiat pelaksanaan projek infrastruktur termasuk penambahbaikan jalan raya dan sistem perparitan demi keselesaan penduduk rumah panjang.
Dalam lawatan tersebut, beliau telah meninjau Rh Jabu Ak Selan dan Rh Allin Ak Ujang di Sungai Seleku, Rh Siti Ak Nyadau dan Rh Jawi Ak Singki di Sungai Bulat serta Rh Patrick Ak Jingan di Jalan Kim San.
Keseluruhan lawatan melibatkan sebanyak 208 pintu rumah panjang.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa kesinambungan agenda pembangunan luar bandar memerlukan sokongan berterusan rakyat bagi memastikan setiap perancangan dapat dilaksanakan dengan lebih efektif dan berimpak tinggi.
Sehubungan itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg atas komitmen berterusan dalam memacu pembangunan luar bandar di negeri ini.
Tegasnya, Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan terus komited melaksanakan pembangunan inklusif agar manfaatnya dapat dinikmati oleh seluruh rakyat tanpa mengira lokasi.-EDISI UKAS