Penyelesaian Banjir Jalan Sual Dipercepat, Libat Urus Penduduk Diperkukuh
SIMUNJAN: Masalah banjir yang kerap menjejaskan Jalan Sual di Simunjan kini diberi perhatian serius apabila usaha penyelesaian dipergiat melalui lawatan tapak serta sesi libat urus bersama penduduk setempat.
Inisiatif berkenaan dilaksanakan di bawah Agensi Pembangunan Bersepadu Wilayah Samarahan (IRSDA), dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Bahagian Samarahan bertindak sebagai agensi pelaksana bagi mengenal pasti langkah terbaik menangani isu tersebut.
Lawatan tapak yang diadakan mendapati laluan sepanjang kira-kira 150 hingga 200 meter sering dilanda banjir dan air bertakung, sekali gus menjejaskan akses penduduk terutama ketika Monsun Timur Laut (MTL).
Sesi libat urus yang dipengerusikan oleh Pegawai Tadbir Khas IRSDA, Anuar Da’an itu turut memberi penerangan mengenai cadangan jajaran projek, selain mendapatkan maklum balas serta kerjasama pemilik tanah bagi tujuan ‘izin lalu’.
Pelbagai agensi turut terlibat termasuk Pejabat Daerah Simunjan, Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Samarahan serta Pusat Khidmat DUN Simunjan, bagi memastikan penyelarasan yang lebih menyeluruh dan berkesan.
Antara cadangan teknikal yang dikenal pasti ialah pembinaan sistem perparitan lebih sistematik bagi melancarkan aliran air dan mengurangkan risiko banjir di kawasan berkenaan.
Sekiranya projek ini diluluskan, kerjasama penduduk amat diperlukan bagi memastikan pelaksanaan berjalan lancar tanpa melibatkan isu pampasan tanah.
Turut hadir dalam lawatan dan sesi libat urus tersebut ialah Pegawai Daerah Simunjan, Sanuyah Mohamad serta Pegawai Khas kepada ADUN Simunjan, Rafendy Ariffen.-EDISI UKAS