Premier Sarawak Rasmikan Program SKS Miri 2026 Pada Sabtu Ini, Sasar 20,000 Pengunjung
MIRI: Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026 terus mengukuhkan peranannya sebagai platform mendekatkan kerajaan dengan rakyat apabila edisi Bahagian Miri dijadual berlangsung dari 24 hingga 26 April ini di Stadium Miri dengan perasmian oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Openg pada Sabtu, 25 April ini.
Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, penganjuran kali ini bukan sekadar acara jelajah, sebaliknya medan strategik memperkukuh penyampaian dasar serta memastikan rakyat memahami inisiatif kerajaan secara lebih menyeluruh di peringkat akar umbi.
Menurut beliau, pendekatan program sentiasa ditambah baik dari semasa ke semasa dengan sokongan padu agensi kerajaan bagi memastikan impak lebih berkesan kepada rakyat.
“Yang penting rakyat faham dan sedar apa yang dilaksanakan kerajaan supaya hubungan antara kerajaan dan rakyat terus diperkukuh serta maklumat dasar dapat disampaikan dengan lebih berkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat penyelarasan Program SKS Bahagian Miri 2026 di Pejabat Residen Bahagian Miri pada Isnin.
Edisi kali ini dijangka lebih meriah dengan sasaran kehadiran seramai 20,000 pengunjung, meningkat berbanding kira-kira 16,000 di Limbang sebelum ini, sekali gus mencerminkan sambutan memberangsangkan terhadap program berkenaan.
Selain pengisian interaktif, pengunjung turut berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik menerusi e-peraduan termasuk hadiah utama sebuah kereta Proton Saga.
Bagi memastikan kelancaran pergerakan, kemudahan bas shuttle disediakan sepanjang tiga hari program, manakala orang ramai termasuk dari kawasan berhampiran seperti Brunei digalakkan hadir memeriahkan acara.
Antara tarikan utama ialah Miri Kitchen yang menampilkan kepelbagaian hidangan tempatan, sekali gus membuka ruang kepada usahawan mempromosikan produk serta menjana pendapatan.
Dalam perkembangan sama, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar turut meninjau tapak cadangan projek pengorekan dan pendalaman (dredging) di delta Batang Baram, Kuala Baram yang disifatkan sebagai inisiatif berimpak tinggi dalam memperkukuh pembangunan ekonomi dan maritim Miri.
Hadir sama Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran) Datu Felicia Tan, Residen Bahagian Miri Galong Luang serta Ketua-ketua Jabatan berkaitan. – EDISI UKAS