Program CSR Zakat Wakalah Raikan Anak Yatim, Semarakkan Nilai Prihatin di Miri
MIRI: Semangat kebersamaan dan keprihatinan terhadap golongan memerlukan terus diperkukuh menerusi penganjuran Program CSR dan Zakat Wakalah bagi meraikan anak-anak yatim sempena Syawal di Southlake, Permyjaya, pada Isnin.
Seramai 53 anak yatim dari Rumah Anak Yatim, Kompleks Kebajikan Hamidah Yakup telah diraikan dalam majlis penuh bermakna yang dianjurkan oleh Hextar Kimia Berhad dengan kerjasama Hextar Secadyme Sdn Bhd.
Program tersebut bertujuan berkongsi kegembiraan Aidilfitri di samping meringankan beban golongan kurang bernasib baik melalui sumbangan duit raya serta keperluan harian.
Ketua Pegawai Eksekutif Hextar Kimia, Rayburn Azhar Ali berkata, pelaksanaan zakat wakalah merupakan satu tanggungjawab sosial yang penting dalam menggalakkan amalan berkongsi rezeki.
“Diharapkan sumbangan ini sedikit sebanyak dapat membantu mereka menjalani kehidupan dengan lebih baik serta memberi keceriaan sempena Aidilfitri,” katanya.
Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh beliau sebelum diteruskan dengan penyampaian sumbangan kepada anak-anak yatim.
Turut memeriahkan program ialah sesi bergambar, jamuan makan malam serta persembahan silat oleh Perguruan Silat Selendang Ma’ut yang menceriakan suasana.
Selain itu, sumbangan tatami turut diserahkan kepada perguruan silat berkenaan sebagai tanda sokongan terhadap usaha memartabatkan seni bela diri tradisional.
Penganjuran program seumpama ini diharap dapat terus menjadi platform memperkukuh nilai ihsan dan solidariti masyarakat dalam membantu golongan yang memerlukan, selari dengan aspirasi pembangunan komuniti yang inklusif dan sejahtera.-EDISI UKAS