PCDS 2030 Pacu Perubahan Nyata, Rakyat Sarawak Nikmati Hasil Pembangunan
KUCHING: Pelaksanaan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) terus membuahkan hasil apabila impak pembangunan yang dirancang kini semakin dirasai rakyat, sekali gus memperkukuh hala tuju Sarawak ke arah mencapai status wilayah berpendapatan tinggi menjelang 2030.
Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan) merangkap Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Dato Sri John Sikie Tayai berkata, kejayaan strategi tersebut dapat dilihat melalui peningkatan infrastruktur, kemunculan industri baharu serta peluasan peluang ekonomi di seluruh negeri.
“Pembangunan yang kita saksikan hari ini bukan sekadar angka, tetapi perubahan nyata dalam kehidupan rakyat daripada peluang pekerjaan hingga peningkatan taraf hidup,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Konvensyen Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Ahad.
Perasmian konvensyen tersebut telah disempurnakan oleh Premier Sarawak merangkap Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Sementara itu jelasnya, pelaksanaan projek strategik seperti Lebuhraya Pantai, Jalan Utama Kedua serta rangkaian jalan luar bandar telah memperkukuh keterhubungan, sekali gus merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan pedalaman.
Selain itu, Sarawak turut mencatat kemajuan signifikan dalam sektor tenaga bersih apabila muncul sebagai antara peneraju pembangunan ekonomi hidrogen di rantau ini.
“Pembangunan bukan sekadar projek fizikal, ia adalah harapan dan masa depan yang lebih baik untuk setiap anak Sarawak,” ujarnya.
Dalam masa sama, beliau menegaskan pendekatan pembangunan inklusif terus menjadi keutamaan melalui pelaksanaan inisiatif seperti pendidikan percuma di institusi milik negeri, bantuan keperluan asas serta peluasan akses kesihatan ke kawasan terpencil.
“Sarawak sedang muncul sebagai peneraju dalam tenaga boleh diperbaharui dan bergerak maju dalam ekonomi digital,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa momentum pembangunan yang sedang dicapai perlu terus diperkukuh bagi memastikan Sarawak bukan sahaja mencapai sasaran 2030, malah muncul sebagai model pembangunan inklusif dan mampan di peringkat serantau.-EDISI UKAS