MIRI: Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki melakukan lawatan kerja ke tapak projek pendalaman Batang Baram Delta di Kuala Baram, sebagai persediaan menjelang lawatan kerja Premier Sarawak ke situ hujung minggu ini.
Lawatan pada Isnin itu merupakan tinjauan awal sebelum kehadiran Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Abang Openg yang dijadualkan melawat tapak projek berkenaan pada 25 April, selepas merasmikan Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026 Bahagian Miri di Stadium Miri.
Turut mengiringi beliau ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran), Datu Felicia Tan, Residen Bahagian Miri, Galong Luang, Pengarah Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Awang Putrayusrie Awang Redzuan serta pihak konsultan yang terlibat dalam pelaksanaan projek.
Sepanjang lawatan, rombongan telah diberikan taklimat oleh Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Miri, Serawa Budol berhubung status semasa dan kemajuan pelaksanaan projek pendalaman tersebut.
Selesai sesi taklimat, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar bersama rombongan meninjau kawasan projek bagi melihat sendiri kerja-kerja pengorekan yang sedang giat dilaksanakan menggunakan jentera khas, termasuk pergerakan kapal sokongan di sekitar kawasan delta.
Rombongan turut dibawa menaiki bot dari kawasan projek di delta hingga ke Terminal Lembaga Pelabuhan Miri dengan perjalanan mengambil masa kira-kira 50 minit bagi mendapatkan gambaran menyeluruh pelaksanaan projek dari perspektif darat dan laut.
Beliau menyifatkan projek bernilai RM208.9 juta itu sebagai satu inisiatif strategik dan inovatif yang berpotensi besar dalam merancakkan pembangunan ekonomi di Miri, khususnya dalam sektor maritim.
Menurutnya, lawatan Premier Sarawak pada Sabtu ini dijangka memberi peluang untuk menilai sendiri perkembangan projek serta mendapatkan maklumat terkini berkaitan pelaksanaannya.
Untuk rekod, projek pendalaman Batang Baram Delta bertujuan menjadikan Kuala Baram sebagai lokasi strategik pembangunan pelabuhan laut, sekali gus memperkukuh akses dan keupayaan maritim di kawasan berkenaan.- EDISI UKAS