Pendekatan Menyeluruh Kerajaan Perkukuh Bekalan Air, Tangani Banjir Demi Kesejahteraan Rakyat
KUCHING: Komitmen kerajaan dalam memperkukuh penyampaian perkhidmatan asas terus diperkasa apabila isu bekalan air bersih, banjir dan sistem perparitan diberi tumpuan menerusi pendekatan perancangan menyeluruh melibatkan jangka pendek, sederhana dan panjang.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya yang juga Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP), Dato' Seri Tiong King Sing berkata, usaha berterusan itu penting bagi memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara, selaras dengan keutamaan kerajaan dalam menangani isu asas di lapangan.
Menurutnya, pendekatan komprehensif amat penting bagi memastikan setiap isu dapat diselesaikan secara berkesan dan tidak berlarutan.
“Sebagai pihak yang bertanggungjawab, kita perlu memastikan setiap masalah ditangani dengan pendekatan menyeluruh merangkumi jangka pendek, sederhana dan panjang agar penyelesaian yang dilaksanakan lebih berkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Konvensyen Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Ahad.
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Premier Sarawak merangkap Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Dalam masa sama, beliau menegaskan aspek penyampaian perkhidmatan terus diperkasa supaya setiap perancangan kerajaan benar-benar memberi impak kepada rakyat di peringkat akar umbi.
“Rakyat bukan hanya melihat kepada pengumuman, tetapi kepada hasil yang dapat mereka nikmati dalam kehidupan seharian,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata bekalan air bersih kekal sebagai keutamaan utama kerajaan kerana memberi kesan langsung kepada kehidupan harian masyarakat, sekali gus memerlukan penyelesaian berterusan dan berimpak tinggi.
Katanya, maklum balas yang diterima termasuk ketika musim perayaan memperlihatkan keperluan untuk memperkukuh sistem bekalan air agar lebih stabil dan berdaya tahan.
Selain itu, beliau turut menekankan usaha kerajaan dalam menangani isu banjir berulang melalui pendekatan lebih tersusun, termasuk cadangan mendalamkan dasar sungai bagi mengatasi masalah mendapan lumpur yang menjejaskan aliran air.
Menurutnya, langkah seperti pembinaan kolam takungan dan stesen pam mampu membantu dalam jangka pendek, manakala penyelesaian jangka panjang memerlukan penambahbaikan menyeluruh terhadap sistem saliran utama.
“Penyelesaian sebenar memerlukan usaha berterusan termasuk pemulihan struktur sungai agar masalah banjir dapat ditangani secara lebih berkesan dan berpanjangan,” jelasnya.
Tambah beliau, segala inisiatif tersebut mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan kesejahteraan rakyat terus terjamin, di samping meningkatkan kualiti hidup masyarakat secara menyeluruh.-EDISI UKAS