Festival Gawai Dayak Miri Perkasa Warisan Budaya, Tarik Penyertaan Seluruh Sarawak
KUCHING: Penganjuran Gawai Dayak Bazaar dan Ethnocultural Festival 2026 di Miri dilihat sebagai platform penting dalam memperkasa warisan budaya negeri melalui penyertaan berskala Sarawak serta penglibatan generasi muda.
Timbalan Pengerusi II, Penghulu Wilfred Mac berkata, festival yang berlangsung dari 1 hingga 23 Mei ini memberi ruang kepada masyarakat untuk menghayati dan meneruskan tradisi budaya pelbagai etnik.
“Ini peluang kita beri kepada generasi muda untuk meneruskan budaya kita… agar warisan itu dapat dikekalkan,” katanya ketika ditemubual di Studio UKAS selepas Program Juh Randau, pada Selasa.
Menurut beliau, pelbagai pengisian kebudayaan seperti pertandingan Ngajat, Bertabuh, Sape, Kuntau, Gendang Pampat, Dayung Sangon, Keling Belawan, Keligit Orang Ulu, dan Kumang Iban akan diketengahkan sepanjang penganjuran.
Sementara itu, Setiausaha program, Counselor Martin Dinil menjelaskan bahawa festival tersebut bersifat inklusif dan terbuka kepada penyertaan dari seluruh negeri.
“Aktiviti yang kita jalankan bukan terhad kepada Miri sahaja… malah terbuka kepada seluruh Sarawak,” ujarnya.
Beliau berkata, penyertaan wakil dari pelbagai bahagian Sarawak dalam pertandingan utama dijangka meningkatkan lagi daya tarikan festival berkenaan.
Dalam pada itu, Bendahari program, Dr Mary Calang berkata, sokongan kerajaan Sarawak memainkan peranan penting dalam memastikan kelangsungan penganjuran program kebudayaan berskala besar.
Katanya, usaha tersebut selari dengan aspirasi memelihara identiti budaya negeri agar terus diwarisi oleh generasi akan datang.
Festival yang berlangsung selama lebih tiga minggu ini turut menampilkan pelbagai persembahan artis, aktiviti komuniti serta program interaktif setiap malam yang dijangka menarik kehadiran pengunjung dari dalam dan luar Miri.-EDISI UKAS