SPEAK 2030 Dirombak: Sarawak Tekan Penempatan Sebenar, Bukan Sekadar Pendedahan
SIBU: Kerajaan Sarawak menegaskan keperluan merombak pendekatan program bimbingan kerjaya apabila inisiatif seperti Sistem Pesanan Kerjaya (SPEAK): Talent Bridge 2030 bagi menghasilkan penempatan pekerjaan sebenar, bukan sekadar pendedahan kepada pelajar.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, keutamaan kini adalah memastikan setiap program yang dilaksanakan memberi impak langsung terhadap kebolehpasaran graduan.
“Pelajar kita memerlukan laluan, bukan sekadar kemungkinan. Kita mahu program seperti ini benar-benar membuka ruang kepada penempatan sebenar dan bukan hanya pendedahan semata-mata,” katanya ketika berucap pada majlis penutupan program SPEAK di Hotel Kingwood, Sibu, pada Selasa.
Menurut beliau, pendekatan berimpak tinggi itu penting bagi memastikan penyelarasan antara pendidikan dan keperluan industri dapat dilaksanakan secara efektif, sekali gus menangani isu ketidakpadanan kemahiran.
Penegasan ini ujarnya mencerminkan komitmen Kerajaan Sarawak untuk memastikan setiap inisiatif pembangunan bakat memberi pulangan nyata dalam bentuk peluang pekerjaan, sekali gus memperkukuh kesiapsiagaan tenaga kerja negeri.
Tambahnya, usaha memperkasa SPEAK 2030 adalah selari dengan keperluan menangani jurang tenaga kerja seperti yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
Dalam masa sama, beliau menegaskan penglibatan industri perlu diperkukuh agar tidak bersifat simbolik, sebaliknya menyediakan laluan kerjaya yang jelas dan berstruktur kepada pelajar.
Sehubungan itu, beliau menyeru kaunselor sekolah memainkan peranan lebih proaktif dalam membantu pelajar mendapatkan peluang penempatan sebenar sepanjang pelaksanaan program.
Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat I, Datuk Dr Annuar Rapaee, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat II, Datuk Francis Harden Hollis serta pegawai kanan kementerian dan agensi berkaitan. - EDISI UKAS