James Chua Dilantik Ketua Jurulatih Badminton Sarawak Baharu
KUCHING: Persatuan Badminton Sarawak (SBA) memperkukuh agenda pembangunan sukan negeri apabila melantik bekas jurulatih skuad kebangsaan dan Republik Czech, James Chua, sebagai Ketua Jurulatih Badminton Sarawak berkuat kuasa 1 Jun lalu.
Pelantikan bekas pemain kebangsaan itu dilihat sebagai langkah strategik dalam merealisasikan pelan pembangunan jangka panjang SMASH 2030 yang menyasarkan Sarawak muncul sebagai antara kuasa utama badminton negara.
Presiden SBA, Dato Sri Dr. Wan Lizozman Wan Omar berkata, pengalaman luas James di peringkat kebangsaan dan antarabangsa menjadikan beliau individu paling sesuai untuk memimpin program kejurulatihan serta memperkukuh struktur prestasi tinggi badminton Sarawak.
Menurutnya, James bukan sahaja memiliki kepakaran teknikal yang tinggi, malah memahami landskap pembangunan badminton Sarawak secara menyeluruh.
“Pelantikan James Chua mencerminkan komitmen SBA untuk memperkukuh struktur teknikal dan prestasi tinggi kita.
“Pengalaman antarabangsa, kepakaran teknikal serta pemahaman mendalam beliau mengenai badminton Sarawak menjadikan beliau individu terbaik untuk menerajui program kejurulatihan dan menggerakkan visi SMASH 2030,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Sebelum ini, James pernah berkhidmat sebagai jurulatih Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sebelum dilantik sebagai Ketua Jurulatih pasukan kebangsaan Republik Czech yang menyaksikan beliau berjaya memimpin program berprestasi tinggi negara tersebut dengan pencapaian memberangsangkan di litar Eropah.
Sebagai Ketua Jurulatih Badminton Sarawak, beliau akan bertanggungjawab menyelia pembangunan keseluruhan sukan itu di negeri ini termasuk persiapan atlet elit, pencarian bakat baharu, pendidikan jurulatih serta perancangan prestasi tinggi.
Selain SBA, James turut terlibat dalam program pembangunan badminton di bawah Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) bagi memperkukuh pembangunan atlet dan persediaan menghadapi temasya utama termasuk Sukan Malaysia (SUKMA) serta kejohanan kebangsaan.
Sementara itu, Setiausaha Kehormat SBA, Datuk Dr. Wan Khalik Wan Muhammad berkata, pelantikan berkenaan merupakan pelaburan penting bagi membina ekosistem badminton yang lebih mampan dan bertaraf dunia.
Beliau berkata, SMASH 2030 bukan sekadar memberi tumpuan kepada pencapaian pingat, sebaliknya merangkumi usaha memperkukuh struktur kejurulatihan, mengenal pasti bakat pada usia lebih awal serta mewujudkan laluan pembangunan yang jelas daripada peringkat akar umbi hingga ke tahap elit.
“James membawa pengalaman antarabangsa, kepakaran teknikal dan mentaliti kemenangan yang mampu mempercepatkan usaha kita untuk meletakkan Sarawak sebagai antara negeri peneraju badminton di Malaysia.
“Kami percaya pelantikan ini akan memberi impak jangka panjang kepada pembangunan pemain, jurulatih dan sukan badminton secara keseluruhan,” katanya.
Dalam pada itu, James merakamkan penghargaan kepada SBA atas kepercayaan yang diberikan dan bertekad membantu melahirkan generasi baharu pemain badminton Sarawak.
“Adalah satu penghormatan untuk kembali berkhidmat kepada badminton Sarawak.
“Saya berharap dapat bekerjasama rapat dengan SBA, MSNS, Sarawak Sports Corporation (SSC), jurulatih, pemain, ibu bapa dan semua pihak berkepentingan untuk membina masa depan yang lebih kukuh bagi sukan ini,” katanya.-EDISI UKAS