Lebih 350 Penduduk Meriahkan Ramah Tamah Aidilfitri Zon Sampadi
LUNDU: Lebih 350 penduduk pelbagai kaum dan agama memeriahkan Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Zon Sampadi yang berlangsung di Dewan Masyarakat Kampung Rambungan, malam Ahad.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu Azizul Annuar Adenan berkata, sambutan meriah itu mencerminkan semangat perpaduan dan keharmonian yang terus utuh dalam kalangan masyarakat di kawasan berkenaan.
"Saya rasa bangga atas kehadiran masyarakat berbilang bangsa yang bersama-sama memeriahkan sambutan Aidilfitri.
"Penyertaan masyarakat daripada pelbagai latar belakang agama dan kaum menjadi bukti kukuh bahawa perpaduan di Tanjong Datu terus utuh dan wajar dipelihara," katanya.
Pada majlis sama, beliau turut menyempurnakan perasmian Dewan Masyarakat Kampung Rambungan.
Azizul berharap ia dapat menjadi pemangkin kepada pembangunan setempat serta memberi manfaat kepada penduduk sekitar.
Selain itu, seramai 23 penerima turut menerima Anugerah Khas sebagai penghargaan terhadap jasa dan sumbangan mereka sebagai imam, Ketua Ranting PBB Induk, sayap wanita, pemuda serta mantan ketua kampung.
Turut diadakan Majlis Doa Selamat yang dipimpin Saini Suhai, khususnya untuk Azizul Annuar sebagai persediaan sebelum beliau berangkat menunaikan ibadah haji dalam masa terdekat. -EDISI UKAS