244 Bot Sertai SIPR 2026, Lepasi Sasaran Rekod Kebangsaan
SIBU: Sebanyak 244 buah bot telah mendaftar untuk menyertai Sibu International Powerboat Race (SIPR) 2026 yang bakal berlangsung di Tebingan Sungai Pulau Li Hua dari 24 hingga 26 April ini, sekali gus melepasi sasaran minimum bagi penciptaan rekod kebangsaan.
Residen Bahagian Sibu, Abang Mohamad Porkan Abang Budiman berkata, jumlah penyertaan tersebut secara tidak rasmi melayakkan acara itu mencipta rekod baharu dalam Malaysia Book of Records (MBOR) bagi kategori “Most Number of Powerboats in a Single Event”.
“Setakat hari ini, sebanyak 244 buah bot telah mendaftar bagi menyertai sembilan kategori perlumbaan, melibatkan penyertaan dari seluruh Sarawak serta penyertaan antarabangsa seperti dari Brunei.
“Jumlah ini telah melepasi syarat minimum 200 buah bot yang ditetapkan, sekali gus secara tidak rasmi melayakkan acara ini untuk mencipta rekod baharu,” katanya dalam sidang media di Pejabat Residen Bahagian Sibu, pada Isnin.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Petugas Pelancongan Bahagian (DTTG) Sibu berkata, sijil pengiktirafan dijangka disampaikan pada 26 April ini semasa majlis penangguhan.
Menurut Abang Mohamad Porkan, majlis perasmian SIPR 2026 bakal disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (MTCP) Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, manakala majlis penutupan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Amar Fadillah Yusof.
Tambahnya, penganjuran edisi kali ini diterajui oleh DTTG Sibu dengan sokongan kewangan daripada Pejabat Timbalan Perdana Menteri serta MTCP Sarawak, selain kerjasama pelbagai agensi dan rakan strategik.
Jelas beliau, tema “D’Awakening of the Mighty Rajang River” yang diketengahkan mencerminkan usaha menghidupkan semula kegemilangan Sungai Rajang sebagai nadi kehidupan, ekonomi dan warisan masyarakat setempat.
Beliau turut memaklumkan, selain perlumbaan, pelbagai program sampingan turut diadakan termasuk pertandingan mewarna dan melukis kanak-kanak, jualan makanan dan minuman serta cabutan tiket bertuah sepanjang tempoh penganjuran.
Sehubungan itu, Abang Mohamad Porkan menyeru orang ramai, khususnya warga Sibu, untuk hadir memeriahkan acara bertaraf antarabangsa itu serta menyokong pembangunan sektor pelancongan tempatan.
Menurutnya, kemasukan adalah percuma, dengan perkhidmatan bas ulang-alik disediakan setiap 15 hingga 30 minit bagi memudahkan pergerakan pengunjung ke lokasi acara.
Hadir sama dalam sidang media itu ialah Setiausaha Sulit kepada Timbalan Perdana Menteri Morshidi Sa-id serta Setiausaha DTTG Sibu Maria Nadja Jimmy.-EDISI UKAS