Sarawak Sunrise Aerodance 2026 Perkukuh Perpaduan dan Gaya Hidup Sihat di Miri
MIRI: Penganjuran Sarawak Sunrise Aerodance Miri Edition 2026 berjaya menghimpunkan lebih 250 peserta pelbagai kaum dan latar belakang, sekali gus memperkukuh semangat perpaduan serta membudayakan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat setempat.
Program anjuran Sarawak Commercial Photographic Association itu berlangsung meriah di kawasan tempat letak kereta Dewan Bandaraya Miri (MCH) dan mencipta sejarah tersendiri sebagai siri acara komuniti berteraskan aerodance yang pertama dianjurkan di Sarawak.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Pemanca Leonard Fong Siew Ming yang mewakili Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan I (Pelancongan) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew.
Menurut kenyataan media pada Ahad, program tersebut merupakan satu inisiatif baharu yang menggabungkan elemen muzik, pergerakan dan penyertaan inklusif bagi menggalakkan penglibatan komuniti secara aktif.
“Penganjuran ini mencerminkan semangat kesatuan, kesejahteraan dan penglibatan komuniti yang semakin kukuh di Sarawak, di samping menjadi platform untuk mempromosikan gaya hidup sihat dalam kalangan rakyat,” menurut kenyataan itu.
Edisi Miri turut menjadi pelancaran rasmi bagi keseluruhan siri Sarawak Sunrise Aerodance 2026 yang akan diteruskan ke beberapa bahagian lain termasuk Bintulu pada 17 Mei 2026, Sibu pada 7 Jun 2026 dan kemuncaknya di Kuching pada 5 Julai 2026.
Sambutan menggalakkan yang diterima membuktikan peningkatan minat masyarakat terhadap program berteraskan kesihatan dan kesejahteraan, selain memperlihatkan peranan penting aktiviti seumpama ini dalam memupuk keharmonian sosial serta amalan hidup positif.
Turut hadir, Penghulu Abau Nawing yang mewakili Datuk Bandar Bandaraya Miri merangkap ADUN Pujut Adam Yii Siew Sang, serta Pengerusi Penganjur, Liew Ted Ghee.-EDISI UKAS