JPKTU Perkukuh Perancangan Pembangunan Kedaya Telang Usan
MIRI: Mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Kedaya Telang Usan (JPKTU) menjadi platform penting dalam memperkukuh perancangan serta pelaksanaan pembangunan di kawasan pedalaman, khususnya di DUN N.78 Mulu yang berdepan cabaran geografi luas dan mencabar.
Mesyuarat pada Isnin tersebut telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu, Datuk Gerawat Gala yang menekankan kepentingan penyelarasan pembangunan secara inklusif dan tersusun.
Menurut beliau, penubuhan JPKTU berperanan sebagai penghubung strategik antara rakyat dan kerajaan dalam memastikan segala keperluan serta isu pembangunan dapat disalurkan secara terus dan lebih berfokus.
“Penubuhan jawatankuasa seperti JPKTU amat penting kerana ia berperanan sebagai jambatan penghubung antara rakyat dan kerajaan. Melalui platform ini, segala isu, keperluan serta cadangan pembangunan dapat disalurkan secara terus dan lebih berfokus,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa sebanyak empat jawatankuasa pembangunan utama telah diwujudkan di bawah pentadbiran DUN N.78 Mulu, meliputi Jawatankuasa Pembangunan Kawasan Tutoh, Jawatankuasa Pembangunan Poyut Lubok Nibong, Jawatankuasa Sosio dan Pembangunan Bario Sentral serta JPKTU bagi memastikan pembangunan diagihkan secara adil dan menyeluruh.
Dalam pada itu, pelbagai projek pembangunan sedang dilaksanakan menerusi agensi kerajaan seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Highland Development Agency (HDA), termasuk pembinaan serta naik taraf jalan luar bandar, pembinaan jambatan, penyelenggaraan jalan balak, pembaikan cerun, bekalan air bersih serta kemudahan asas seperti dewan masyarakat dan prasarana kampung.
Bagi kawasan tanah tinggi, HDA katanya memberi tumpuan kepada pembangunan akses jalan luar bandar, pemerkasaan ekonomi komuniti, bantuan pertanian moden serta pembangunan pelancongan luar bandar yang berpotensi meningkatkan taraf hidup masyarakat setempat.
Mengulas perancangan masa depan, beliau menegaskan keutamaan kerajaan adalah memperkukuh jaringan jalan perhubungan di Kedaya Telang Usan dan keseluruhan kawasan DUN Mulu bagi merancakkan mobiliti rakyat serta membuka peluang ekonomi baharu.
Selain itu, projek Border Security Road turut diberi perhatian berikutan kepentingannya dari aspek keselamatan serta potensinya dalam merancakkan pembangunan kawasan pedalaman yang sebelum ini sukar diakses.
Dalam masa sama ujarnya, usaha memperluaskan liputan bekalan elektrik luar bandar, telekomunikasi, kemudahan internet, serta peningkatan infrastruktur pendidikan dan kesihatan terus dipergiat bagi memastikan kesejahteraan rakyat di kawasan pedalaman terjamin.
Turut hadir, Pegawai Daerah Telang Usan Ezra Uda serta Pengerusi JPKTU, Temenggong Joseph Ngau Lian.-EDISI UKAS