Setiausaha Kerajaan Sarawak Tinjau Persiapan Akhir Program Sarawakku Sayang di Stadium Miri
MIRI: Persiapan akhir bagi penganjuran Program Sarawakku Sayang 2026 di Stadium Miri kini berada pada tahap memuaskan dengan pelbagai aspek utama diberi perhatian rapi bagi memastikan kelancaran penganjurannya.
Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki mengadakan lawatan ke lokasi program pada Isnin bagi meninjau sendiri tahap kesiapsiagaan menjelang acara yang dijadual berlangsung dari 24 hingga 26 April ini.
Tinjauan tersebut memfokuskan kepada perkembangan penyediaan pentas utama yang sedang giat disiapkan, selain susun atur reruai pameran melibatkan pelbagai agensi dan jabatan kerajaan.
Dalam lawatan itu, beliau turut meneliti aspek pergerakan pengunjung termasuk laluan keluar masuk bagi memastikan aliran orang ramai berjalan lancar sepanjang program berlangsung.
Penekanan turut diberikan kepada aspek keselamatan dan keselesaan pengunjung, di samping kemudahan sokongan seperti kawasan parkir, tandas awam serta fasiliti logistik yang kini berada pada fasa akhir persiapan.
Suasana di sekitar stadium jelas memperlihatkan komitmen tinggi para petugas yang bertungkus-lumus menyiapkan pelbagai keperluan termasuk pemasangan struktur pentas, khemah pameran serta kerja-kerja teknikal melibatkan sistem pencahayaan dan bunyi.
Program Sarawakku Sayang Bahagian Miri dijangka menarik kehadiran sekitar 20,000 pengunjung dari kawasan Miri dan sekitarnya termasuk Baram, Sibuti, Bintulu serta negara jiran, Brunei.
Majlis perasmian program dijadual disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg pada 25 April di Stadium Miri.
Hadir sama Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran) Datu Felicia Tan, Residen Bahagian Miri Galong Luang serta Pengarah Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) Awang Putrayusrie Awang Redzuan.-EDISI UKAS