KUCHING: Sarawak bakal menjadi tuan rumah Karnival Gimnastik Kumpulan Estetik (AGG) Sarawak 2026 bersama MAGGA National Series 1 yang akan berlangsung selama dua hari bermula 25 hingga 26 April ini.
Acara peringkat kebangsaan itu dijangka menghimpunkan kira-kira 300 gimnas serta delegasi dari seluruh Malaysia, sekali gus memperkukuh pembangunan sukan gimnastik kumpulan estetik di negara ini.
Karnival tersebut dianjurkan oleh Persatuan Gimnastik Kumpulan Estetik Sarawak (SAGGA) dengan pengiktirafan daripada Persatuan Gimnastik Kumpulan Estetik Malaysia (MAGGA) dan akan berlangsung di Dewan Sa’ati, Ibu Pejabat SUPP, di sini.
Menurut kenyataan media SAGGA, program yang dirangka merangkumi Pertandingan Program Pembangunan AGG Kebangsaan (NAD), Pertandingan Program Peraturan Antarabangsa (IFAGG) serta bengkel latihan khas AGG bersama gimnas Pasukan Muda Campuran Malaysia.
Bengkel berkenaan turut memperkenalkan inisiatif baharu dikenali sebagai Mixed Team Program yang bertujuan memperkukuh pembangunan atlet selain meningkatkan standard teknikal sukan tersebut.
Dari segi jadual, pertandingan NAD akan berlangsung pada 25 April bermula jam 12 tengah hari dan diakhiri dengan majlis penyampaian hadiah pada jam 4.30 petang.
Manakala pada 26 April, pertandingan IFAGG diikuti bengkel latihan AGG akan bermula seawal jam 10 pagi.
Semua acara dalam karnival tersebut akan diadili oleh juri bertauliah di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, sekali gus menyokong pembangunan jangka panjang atlet serta membuka peluang kepada bakat baharu, khususnya dalam kalangan Anak Sarawak, untuk menyerlah.-EDISI UKAS