Muzium Warisan Perindustrian Limbungan Brooke Dibuka Esok
KUCHING: Muzium Warisan Perindustrian Limbungan Brooke mula dibuka kepada orang ramai esok selepas dirasmikan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg pada malam ini.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pembukaan muzium tersebut dijangka menjadi tarikan baharu di bandar raya ini, sekali gus memperkukuh sektor pelancongan berasaskan warisan dan sejarah.
“Brooke Dockyard Industrial Heritage Museum (Muzium Warisan Perindustrian Limbungan Brooke) ataupun sebelum ini Brooke Dockyard sahaja adalah limbungan kapal yang pertama dibangunkan di Borneo dan Malaysia sejak 1912 pada era Charles Brooke.
“Pada asalnya, ia menyediakan perkhidmatan untuk kapal-kapal raja sebelum berkembang kepada pembaikan kapal, sokongan minyak dan gas, serta latihan kejuruteraan, menjadikannya tempat kerja perindustrian pertama,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak di Komplek Satria Pertiwi pada Isnin bagi menyampaikan jemputan rasmi menyempurnakan perasmian muzium berkenaan serta berkongsi maklumat berkaitan pengisian majlis perasmian serta perkembangan terkini Jabatan Muzium Sarawak.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak itu menambah, muzium tersebut menampilkan pelbagai galeri termasuk mesin asal limbungan serta pameran berkaitan evolusi industri.
Tambah beliau, kemasukan adalah percuma buat masa ini dan pembukaan ini akan melengkapkan tarikan sedia ada seperti Muzium Budaya Borneo dan Kampung Budaya Sarawak.
Turut hadir dalam kunjungan hormat itu ialah Pengarah Jabatan Muzium Sarawak Nancy Jolhi serta Timbalan Pengarah Jabatan Muzium Sarawak Yasmin Khalid Nicholls.-EDISI UKAS