FKPS UPMS Lakar Sejarah Terima Kohort Pertama Master Tenaga Boleh Diperbaharui
BINTULU: Usaha memperkukuh pembangunan modal insan dalam sektor tenaga hijau terus diperkasa apabila Fakulti Kemanusiaan, Pengurusan dan Sains (FKPS), Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS) mencatat sejarah dengan menerima kohort pertama bagi program Master Tenaga Boleh Diperbaharui.
Pengambilan kumpulan perintis yang memulakan pengajian bagi Semester 2 Sesi Akademik 2025/2026 itu menandakan langkah strategik institusi berkenaan dalam menyokong agenda pembangunan lestari negeri, khususnya dalam memperkasa sektor tenaga alternatif di Sarawak.
Inisiatif tersebut selari dengan aspirasi Kerajaan Sarawak dalam memacu Ekonomi Hidrogen serta pelaksanaan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030, yang menekankan keperluan tenaga kerja mahir dalam bidang tenaga boleh diperbaharui seperti hidro dan solar.
Dalam satu kenyataan pada Isnin, Dekan FKPS, Prof. Madya Ts. Dr. Wong Tze Jin berkata, kejayaan memperkenalkan program berkenaan mencerminkan komitmen universiti dalam meneroka bidang kritikal yang berimpak tinggi kepada masa depan negeri.
Beliau turut berharap agar FKPS terus berkembang sebagai pusat kecemerlangan akademik dan penyelidikan yang mampu memberi sumbangan signifikan kepada pembangunan industri tenaga boleh diperbaharui.
Sementara itu, Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Siswazah), Dr. Shairil Izwan Taasim menegaskan program tersebut amat relevan dengan keperluan semasa dan masa hadapan Sarawak yang kini memberi tumpuan kepada pembangunan tenaga lestari.
Penawaran program ini turut dijangka memberi impak positif melalui aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D), selain berpotensi menarik pelaburan asing serta membantu mengurangkan jejak karbon menerusi aplikasi teknologi bersih dalam masyarakat.
Pendaftaran kohort sulung ini sekali gus menandakan permulaan fasa baharu UPMS dalam memperkukuh peranannya sebagai hab pendidikan tinggi yang relevan dengan keperluan sosioekonomi semasa.
Permohonan bagi ambilan seterusnya dijadual dibuka pada Oktober 2026, dengan orang ramai yang berminat digalakkan untuk menghubungi FKPS, UPMS bagi mendapatkan maklumat lanjut.-EDISI UKAS