TYT Sarawak & Isteri Ziarah Aidilfitri Ke Kediaman Setiausaha Kerajaan Sarawak
KUCHING: Tradisi kunjungan Hari Raya Aidilfitri terus disemarakkan apabila Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi berkenan mengadakan ziarah ke kediaman Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki bersama isteri, Dato Hajah Baduyah Bujang di Siol Kandis, Petra Jaya semalam.
Kunjungan tersebut mencerminkan komitmen berterusan kepimpinan tertinggi negeri dalam memperkukuh hubungan silaturahim serta memupuk semangat perpaduan dalam kalangan penjawat awam dan masyarakat.
Ketibaan Tun Pehin Sri dan Toh Puan disambut mesra oleh Datuk Amar Mohamad Abu Bakar bersama isteri serta ahli keluarga.
Peguam Besar Sarawak, Dato Sri Saferi Ali bersama isteri, Datin Sri Sharifah Ema Fazilla Wan Aidulfitri turut hadir memeriahkan suasana.
Majlis berlangsung dalam suasana sederhana namun penuh kemesraan dengan para tetamu berpeluang beramah mesra sambil menikmati pelbagai juadah tradisional Sarawak yang disediakan oleh tuan rumah.
Kunjungan ini merupakan sebahagian daripada siri ziarah Aidilfitri Tun Pehin Sri dan Toh Puan yang menjadi wadah penting dalam mengeratkan hubungan antara kepimpinan negeri dan penjawat awam, sekali gus memperkukuh perpaduan serta keharmonian masyarakat di Sarawak.-EDISI UKAS