IPU Di Mukah Cecah 243, Penduduk Diseru Utamakan Kesihatan
MUKAH: Penduduk di Mukah diseru mengutamakan kesihatan dan mengehadkan aktiviti luar susulan keadaan jerebu yang semakin buruk apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencecah 243 setakat jam 4 petang pada Selasa, sekali gus berada pada tahap sangat tidak sihat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian Royston Valentine berkata, orang ramai khususnya kanak-kanak, warga emas serta individu yang mempunyai masalah pernafasan perlu mengurangkan aktiviti fizikal berat dan aktiviti di luar rumah.
“Kurangkan aktiviti fizikal yang berat dan aktiviti luar dalam keadaan jerebu yang semakin buruk. Jika perlu berada di luar, gunakan pelitup muka yang sesuai, minum air secukupnya dan pastikan ruang kediaman sentiasa bersih,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas keadaan jerebu semasa yang melanda Mukah pada Selasa.
Royston turut menasihatkan individu yang mengalami batuk berterusan, sesak nafas, sakit dada atau gejala kesihatan yang membimbangkan supaya segera mendapatkan pemeriksaan perubatan.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka serta sentiasa memantau bacaan IPU dan mengikuti nasihat terkini daripada pihak berkuasa termasuk Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS).
Menurutnya, keadaan jerebu turut menjejaskan jarak penglihatan di beberapa kawasan di Mukah, selain menyebabkan suasana berkabus akibat kepekatan asap.
Beliau berharap keadaan jerebu berkenaan segera reda dan masyarakat di Mukah serta seluruh Sarawak sentiasa berada dalam keadaan sihat dan selamat. -EDISI UKAS