Jerebu: Sarawak Perhebat Pemantauan Susulan Peningkatan Kes URTI, Konjunktivitis
SIBU: Pemantauan penyakit berkaitan jerebu di Sarawak dipertingkatkan susulan peningkatan kes jangkitan saluran pernafasan atas (URTI) dan konjunktivitis ketika keadaan kualiti udara di negeri ini semakin merosot sejak awal Ogos lalu.
Timbalan Menteri Kesihatan, Dato' Hanifah Hajar Taib berkata, pemantauan menerusi 15 fasiliti kesihatan sentinel di seluruh Sarawak mendapati purata kes URTI meningkat daripada kira-kira 1,717 kes seminggu pada awal tahun kepada 1,752 kes seminggu dalam tempoh kebelakangan ini.
“Kes konjunktivitis turut mencatatkan trend peningkatan daripada kira-kira 17 kes seminggu kepada 21 kes seminggu dalam tempoh yang sama.
“Perhatian khusus diberikan kepada kes URTI yang meningkat secara mendadak pada pertengahan Ogos, dengan Zon Selatan merekodkan kira-kira 1,250 kes, Zon Tengah melebihi 1,000 kes dan Zon Utara merekodkan angka kemuncak menghampiri 400 kes,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita sempena lawatan rasmi ke Klinik Kesihatan Jalan Oya, di sini pada Selasa.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Mukah itu berkata, dari Januari hingga akhir Ogos 2026, kira-kira 694,800 lawatan pesakit direkodkan di fasiliti sentinel berkenaan, termasuk 64,688 kes URTI dan 6,156 kes asma.
Menurutnya, meskipun kedatangan pesakit asma di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Umum Sarawak meningkat pada beberapa hari sepanjang Ogos, pemantauan keseluruhan menunjukkan aktiviti asma di peringkat negeri secara amnya kekal stabil tanpa lonjakan berterusan yang ketara.
Dato' Hanifah turut memaklumkan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sarawak kini mempertingkatkan pemantauan penyakit berkaitan jerebu bagi memastikan situasi kesihatan awam dapat dipantau dengan lebih berkesan.
“Ini bagi memperkukuh perkhidmatan perubatan serta memastikan keperluan bekalan ubat, peralatan dan anggota kesihatan di hospital serta klinik kesihatan sentiasa mencukupi,” katanya.
Dalam pada itu, pemantauan berterusan akan dilaksanakan bagi membolehkan sebarang perubahan trend penyakit berkaitan jerebu dikenal pasti dan tindakan sewajarnya diambil dengan segera.-EDISI UKAS