Sarawak Terus Teroka Teknologi Mobiliti Mampan, Tenaga Bersih Menerusi GATE 2026
KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak (MEESty), Datuk Dr Hazland Abang Hipni antara pemimpin yang turut serta dalam Global Automotive and Technology Expo (GATE) 2026 yang turut menghimpunkan pemimpin industri automotif dan teknologi.
Ekspo yang melabuhkan tirai di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC) pada 28 Ogos itu mengukuhkan penglibatan Sarawak dalam perkembangan teknologi mobiliti mampan, pembangunan teknologi dan peralihan ke arah industri rendah karbon.
Penyertaan Datuk Dr Hazland turut membuka peluang kepada Sarawak untuk mengikuti perkembangan teknologi terkini, memperkukuh jaringan industri serta meneroka potensi teknologi mobiliti baharu dan penyelesaian tenaga bersih yang bersesuaian dengan agenda peralihan tenaga negeri.
Penglibatan tersebut juga mencerminkan komitmen Sarawak dalam meneruskan agenda kelestarian alam sekitar dan peralihan tenaga, selaras dengan usaha memperkukuh pembangunan industri rendah karbon di negeri ini.
Ekspo selama tiga hari itu menghimpunkan pengeluar automotif, penyedia teknologi, pelabur dan pemain industri dari Malaysia serta luar negara dengan tumpuan kepada kenderaan generasi akan datang, mobiliti elektrik, teknologi automotif termaju dan penyelesaian mampan.
Ia diadakan bersama Sustainability Environment Asia (SEA) 2026 dan E-Mobility Asia 2026, sekali gus menghimpunkan sektor automotif, tenaga dan kelestarian dalam satu platform.
Memasuki edisi kedua, GATE 2026 memperluaskan skop daripada platform E-Mobility Asia dengan mengetengahkan pelbagai teknologi termasuk kenderaan elektrik dan autonomi, teknologi pengecasan dan bateri, pembuatan pintar, komponen automotif serta penyelesaian mobiliti generasi akan datang.
Ekspo berkenaan turut memberi penekanan kepada Kenderaan Generasi Akan Datang (NxGV), mobiliti berhubung, pembuatan automotif dan rantaian bekalan selaras dengan peralihan industri ke arah elektrifikasi, pendigitalan dan kelestarian. - EDISI UKAS