BCF 2026 Ditangguhkan Dua Hari Ekoran Jerebu - MPS
SIBU: Penganjuran Festival Kebudayaan Borneo (BCF) 2026 ditangguhkan selama dua hari dan kini akan berlangsung dari 5 hingga 14 September di Dataran Tun Tuanku Bujang, meliputi Fasa 1 dan TRADEX di Fasa 2.
Majlis Perbandaran Sibu (MPS) dalam satu kenyataan media pada Selasa memaklumkan bahawa keputusan itu dibuat sebagai langkah berjaga-jaga ekoran keadaan jerebu semasa dan kualiti udara yang semakin merosot.
"Langkah ini diambil bagi mengutamakan kesihatan dan keselamatan orang ramai, para persembah, kakitangan serta peserta," menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, kesemua pengusaha gerai akan mula beroperasi pada 5 September.
“Walau bagaimanapun, persembahan di pentas utama akan diteruskan mengikut jadual asal dari 6 hingga 12 September,” kata kenyataan itu lagi.
Menurut kenyataan itu lagi, kehadiran dan penyertaan dalam aktiviti luar adalah secara sukarela.
Pihak majlis menasihatkan orang awam supaya menggunakan budi bicara kendiri, memakai pelitup muka yang sesuai, minum air dengan secukupnya serta mengambil langkah pencegahan yang perlu bagi menghadapi cuaca panas dan jerebu.
“MPS akan terus memantau keadaan dari semasa ke semasa dan berhak untuk menggantung atau mengubah suai program sekiranya keadaan mengancam kesihatan dan keselamatan awam,” kata kenyataan itu. - EDISI UKAS