KUCHING: Pembukaan Muzium Warisan Perindustrian Limbungan Brooke menjadi manifestasi komitmen kukuh Kerajaan Sarawak dalam mengangkat warisan sejarah sebagai aset strategik, sekali gus merancakkan pertumbuhan sektor pelancongan negeri ini.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, transformasi tapak limbungan kapal tertua di Malaysia itu kepada muzium berkonsep warisan industri bukan sahaja memelihara khazanah sejarah, malah membuka limpahan ekonomi baharu kepada komuniti setempat.
Menurut beliau, projek bernilai kira-kira RM46.7 juta yang dilaksanakan secara berfasa sejak 2020 itu kini muncul sebagai “arkib hidup” yang merakam evolusi industri maritim Sarawak untuk generasi masa kini dan akan datang.
“Pembukaan muzium ini bukan sekadar menambah satu lagi destinasi pelancongan, tetapi memperkukuh identiti sejarah Sarawak serta menjadi platform pendidikan, khususnya dalam bidang STEM,” katanya ketika berucap semasa Majlis Perasmian Brooke Dockyard Industrial Heritage Museum di sini pada Isnin.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, sekali gus menandakan pencapaian penting dalam usaha memperkasa landskap pemuziuman negeri.
Mengulas lanjut, beliau berkata, muzium berkenaan akan melengkapkan ekosistem pelancongan sedia ada termasuk Borneo Cultures Museum yang terus mencatat prestasi memberangsangkan dengan lebih 1.59 juta pengunjung sejak dibuka pada Mac 2022.
Katanya, dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini sahaja, muzium tersebut berjaya menarik lebih 54,000 pelawat, sekali gus membuktikan potensi besar sektor pemuziuman sebagai pemangkin ekonomi pelancongan.
“Dengan pembukaan Muzium Warisan Perindustrian Limbungan Brooke, kita optimis Sarawak mampu menarik lebih ramai pelancong dan seterusnya mencapai sasaran 12.7 juta pelawat dengan pulangan ekonomi mencecah RM50 bilion menjelang 2035,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan muzium masa kini bukan lagi sekadar tempat penyimpanan artifak, sebaliknya berfungsi sebagai hab ilmu, pusat interaksi komuniti serta pemacu pembangunan sosioekonomi.
Tambahnya, kolaborasi strategik bersama institusi antarabangsa seperti British Museum dan National Geographic turut memperkukuh kedudukan Sarawak dalam peta penyelidikan dan pemeliharaan warisan global.
Selain menampilkan struktur kejuruteraan unik ‘dry dock’, muzium tersebut turut mempamerkan koleksi jentera berat serta replika kapal bersejarah yang pernah memainkan peranan penting dalam pembangunan industri maritim negeri.
Beliau turut memaklumkan pembangunan kawasan sekitar termasuk inisiatif mural, pasar terbuka dan pemuliharaan tapak bersejarah akan dilaksanakan secara berperingkat bagi mewujudkan persekitaran lebih dinamik dan menarik kepada pengunjung.
Turut hadir, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) Dato Sri Dr Muhammad Abdullah Zaidel serta tetamu lain. -EDISI UKAS