KOTA SAMARAHAN: Projek Kuching Urban Transportation System (KUTS) Pakej 1 di Samarahan dijangka siap menjelang penghujung 2026, sekali gus membuka lembaran baharu kepada transformasi sistem pengangkutan awam yang lebih moden, efisien dan berdaya saing di kawasan itu.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Rubiah Wang berkata, perkembangan tersebut dimaklumkan ketika beliau mempengerusikan Mesyuarat Koordinasi Projek KUTS di Bilik Mesyuarat Jabatan Kerja Raya (JKR) Samarahan, semalam.
Menurut beliau, mesyuarat berkenaan memberi tumpuan kepada penilaian kemajuan semasa projek serta penyelarasan pelaksanaan secara menyeluruh melibatkan pelbagai agensi teknikal dan pelaksana.
“Pelbagai isu dan cabaran sepanjang pelaksanaan projek telah dibincangkan secara terperinci termasuk aspek pengurusan trafik, pematuhan dasar keselamatan serta perancangan operasi sistem Autonomous Rail Transit (ART) yang akan beroperasi pada selang masa setiap 10 minit,” katanya.
Tambah beliau, isu banjir yang sebelum ini menjejaskan kawasan Kampung Plaie dan Sungai Batu turut diberi perhatian dengan beberapa penyelesaian dikenal pasti termasuk kerja menaik taraf serta pembesaran sistem perparitan bagi memastikan aliran air lebih terkawal dan sistematik.
Dalam masa sama, perancangan jangka panjang turut dirangka bagi mendepani peningkatan jumlah kenderaan di kawasan sekitar, khususnya di bulatan Entingan.
“Cadangan pembinaan jalan baharu sepanjang 1.5 kilometer yang menghubungkan Jalan Kampung Meranek ke Jalan Residen merupakan langkah proaktif bagi mengurangkan kesesakan trafik serta meningkatkan jaringan perhubungan setempat,” jelasnya lagi.
Apabila siap kelak, sistem KUTS dijangka beroperasi dengan 38 unit ART serta 55 buah bas sokongan, sekali gus memperkukuh tahap mobiliti rakyat di Samarahan.
Beliau menegaskan, kerajaan komited memastikan setiap perancangan dilaksanakan secara teliti dan berkesan agar cabaran dapat ditangani lebih awal demi menjamin keselesaan serta keselamatan rakyat.-EDISI UKAS