KUCHING: Pembukaan Muzium Warisan Perindustrian Limbungan Brooke menjadi langkah strategik dalam memperkukuh pemeliharaan warisan industri dan sejarah maritim Sarawak, sekali gus merancakkan sektor pelancongan berimpak tinggi di negeri ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menegaskan bahawa muzium tersebut bukan sekadar ruang pameran, tetapi platform penting dalam mengangkat naratif kejuruteraan, perdagangan dan sistem pengangkutan air yang pernah menjadi nadi pembangunan Sarawak suatu ketika dahulu.
Menurut beliau, kewujudan limbungan serta replika kapal bersejarah seperti Zahora mencerminkan keupayaan teknologi berasaskan enjin wap yang memainkan peranan besar dalam pentadbiran dan perhubungan negeri sebelum era moden.
“Sejarah merakamkan bahawa kapal seperti Zahora bukan sekadar pengangkutan, malah menjadi simbol pentadbiran dan penghubung utama ke kawasan pedalaman, termasuk digunakan dalam misi penting seperti tinjauan Suruhanjaya Cobbold,” ujar beliau semasa berucap dalam majlis tersebut pada Isnin.
Beliau menjelaskan bahawa perkembangan sistem pengangkutan daripada penggunaan kapal kepada helikopter mencerminkan evolusi pembangunan dan keperluan konektiviti di Sarawak yang luas.
Dalam pada itu, beliau mendedahkan perancangan pembangunan projek tebingan sungai sepanjang 48 kilometer yang bakal menghubungkan kawasan Brooke Dockyard dengan Jambatan Satok, sekali gus mewujudkan satu koridor pelancongan bersepadu berasaskan warisan dan budaya.
Katanya, fasa pertama projek tersebut dijangka bermula tahun hadapan dengan peruntukan sekitar RM160 juta, diikuti fasa kedua bernilai RM400 juta, yang akan menampilkan reka bentuk seni bina unik termasuk laluan bertingkat bagi menjaga kesejahteraan komuniti setempat.
“Pembangunan ini akan memberi pengalaman berbeza kepada pelancong, selain menghubungkan elemen sejarah, budaya dan kehidupan masyarakat di kedua-dua tebing sungai,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata Sarawak kini semakin kukuh di peringkat antarabangsa dengan beberapa pengiktirafan global termasuk Tapak Warisan Dunia Taman Negara Gunung Mulu dan Taman Negara Niah, selain pengiktirafan bandar gastronomi bagi Kuching.
Tambah beliau, usaha mendapatkan pengiktirafan geopark oleh UNESCO bagi kawasan Delta Kuching bakal membuka satu lagi dimensi baharu dalam memperkukuh kedudukan Sarawak sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia.
Dalam masa sama, beliau menekankan bahawa peningkatan aksesibiliti melalui inisiatif penerbangan serantau AirBorneo akan menjadi pemangkin penting dalam membawa lebih ramai pelancong ke negeri ini.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak serta Jabatan Muzium Sarawak atas usaha berterusan dalam merealisasikan projek tersebut.
Mengakhiri ucapannya, beliau menyatakan keyakinan bahawa muzium ini akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan industri pelancongan, sekali gus memberi limpahan ekonomi kepada sektor perhotelan, makanan dan perkhidmatan di Sarawak.
Turut hadir, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) Dato Sri Dr Muhammad Abdullah Zaidel, Timbalan-Timbalan Menteri serta tetamu kehormat yang lain.-EDISI UKAS