JPBBM Tingkat Penguatkuasaan, Kekang Pembakaran Terbuka di Miri
MIRI: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Miri (JPBBM) mempertingkat pemantauan dan penguatkuasaan terhadap aktiviti pembakaran terbuka susulan peningkatan kebakaran hutan dan tanah gambut yang semakin membimbangkan ketika musim kemarau berpanjangan.
Residen Bahagian Miri Galong Luang berkata, larangan pembakaran terbuka kini berkuat kuasa sepenuhnya dan tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana pihak yang melanggar arahan tersebut mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
Menurut beliau yang juga yang juga Pengerusi JPBBM, keadaan cuaca panas dan kering ketika ini meningkatkan risiko kebakaran sekali gus berpotensi menjejaskan kualiti udara, kesihatan awam serta keselamatan penduduk setempat.
Sehubungan itu, semua agensi berkaitan diarahkan mempergiat rondaan dan pemantauan di kawasan berisiko selain melaksanakan operasi penguatkuasaan secara bersepadu serta mengambil tindakan segera terhadap sebarang kejadian kebakaran.
Dalam masa sama, usaha pencegahan termasuk kempen kesedaran kepada masyarakat turut dipertingkat bagi memastikan orang ramai memahami risiko serta mematuhi larangan yang ditetapkan.
Penduduk turut dinasihatkan agar tidak melakukan pembakaran terbuka sepanjang tempoh musim kemarau, manakala kerjasama semua pihak disifatkan penting bagi mengawal risiko kebakaran dan menjaga kesejahteraan komuniti setempat.-EDISI UKAS