![]() |
AJAX Error Sorry, failed to load required information. Please contact your system administrator. |
|
| Close | ||
Rukun Negara diistiharkan secara rasminya sebagai ideologi kebangsaan Malaysia mulai 31 Ogos 1970, sebagai tindakan reaksi ekoran insiden rusuhan kaum yang berlaku di Kuala Lumpur pada tahun sebelumnya.
Peristiwa 13 Mei 1969 yang menggetirkan itu telah menyaksikan rakyat Malaysia kebinggungan pada mulanya tentang nasib sebuah negara yang baru saja memasuki usia enam tahun sebagai sebuah negara bangsa yang merdeka dan berdaulat.
Ideologi berkenaan diciptakan sebagai pautan kehidupan seharian rakyat Malaysia demi mengukuhkan perpaduan erat dalam kalangan rakyat majmuk demi kehidupan yang demokratik dalam kerangka masyarakat yang adil.
Lima prinsip
Lima prinsip utama yang menggariskan Rukun Negara ialah: (i) Kepercayaan kepada Tuhan; (ii) Kesetiaan kepada Raja dan Negara; (iii) Keluhuran Perlembagaan; (iv) Kedaulatan Undang-undang; dan (v) Kesopanan dan Kesusilaan.
Jika kita hayati secara mendalam inti pati kelima-lima prinsip yang menggariskan Rukun Negara itu mudahlah bagi kita untuk memahami bagaimana kita harus memaknakan kehidupan seharian dalam masyarakat yang terdiri dari pelbagai etnik keturunan, berbeza agama, budaya dan adat resam, di samping kerencaman dialek dan subdialek.
Prinsip pertama mengagungkan agama sebagai panduan hidup untuk membentuk kepribadian baik.
Semua agama di muka bumi ini mengarah para penganut masing-masing untuk berbuat baik, tiada satu pun agama yang menyarankan perlakuan yang ada kaitan dengan kejahatan, keburukan, penindasan atau apa jua bentuk ketidaksenonohan.
Prinsip kedua menjunjung sistem Raja Berperlembagaan demi memantapkan ketaatan kepada negara bangsa yang berdaulat, manakala prinsip ketiga menghormati ketinggian undang-undang tertinggi negara.
Adalah diwajibkan rakyat negara yang berdaulat ini mematuhi undang-undang bagi keamanan dan keadilan yang saksama, ke arah pembentukan masyarakat yang bertatasusila, hormat menghormati dan berakhlak mulia.
Inilah prinsip yang diikrarkan dalam prinsip keempat dan kelima Rukun Negara.
Kehidupan seharian rakyat Malaysia pada masa kini dan masa hadapan banyak bergantung kepada pautan terhadap ideologi yang digariskan oleh lima prinsip Rukun Negara.
Penutup
Memaknankan Rukun Negara tidak memadai sekadar menghafal prinsipnya, tetapi menuntut penghayatan yang tulus dalam setiap tindakan seharian. Nilai kepercayaan kepada Tuhan, Kesetiaan Kepada Raja dan Negara serta keluhuran Perlembagaan harus diterjemahkan dalam sikap, tutur kata dan keputusan yang kita ambil sebagai rakyat yang bertanggungjawab.
Dalam dunia yang semakin kompleks, pegangan kepada Prinsip Rukun Negara menjadi asas penting dalam memelihara keharmonian, memperkukuh perpaduan dan membentuk masyarakat yang beradab. Ia bukan sahaja menjadi panduan moral, tetapi juga landasan kepada pembinaan negara yang stabil, inklusif dan berdaya tahan.
Justeru, tanggungjawab memaknakan Rukun Negara terletak pada setiap individu. Apabila nilai-nilainya dihayati dan diamalkan secara konsisten, Rukun Negara tidak lagi sekadar lafaz, tetapi menjadi roh yang menyatukan kita dalam membina masa depan negara yang lebih sejahtera dan bermaruah.