Datuk Liwan Santuni Keluarga Mendiang Uku Long di Long Amo
BELAGA: Kunjungan takziah Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Liwan Lagang bersama isterinya, Datin Rosnie Bilang, kepada keluarga mendiang Uku Long @ Long Lorong di Uma Kayan, Long Amo, pada Sabtu, menjadi tanda keprihatinan terhadap keluarga yang sedang menghadapi kehilangan insan tersayang.
Kunjungan itu bertujuan menyampaikan ucapan takziah serta memberikan sokongan moral kepada ahli keluarga dan saudara-mara mendiang yang meninggal dunia pada 27 November lalu.
Dalam kunjungan berkenaan, beliau dan isteri meluangkan masa bersama keluarga mendiang, selain menyampaikan kata-kata penghiburan bagi memberikan kekuatan kepada mereka dalam menghadapi saat sukar itu.
Kehadiran beliau turut disertai beberapa pemimpin masyarakat setempat, sekali gus memperlihatkan sokongan komuniti terhadap keluarga yang sedang berdepan suasana dukacita.
Amalan menziarahi keluarga yang kehilangan ahli keluarga bukan sahaja mencerminkan rasa simpati, malah memberi ruang kepada masyarakat untuk bersama-sama memberikan sokongan ketika berhadapan detik sukar dalam kehidupan.
Turut hadir ialah Datuk Awang Bujang Antek, Temenggong Ajang Sirek, Penghulu Jackson Kubang, Penghulu Abu Talip Mokhtar, Penghulu Peter Hoo, Ketua Kaum Uma Kayan Long Amo, MU Daley Sengem, MU Lejau Sirek dan MU Michael Nyaleng. -EDISI UKAS