Dato Sri Julaihi Hargai Sokongan Belia, Jentera Parti Menerusi Sembang Santai
SEBUYAU: Kira-kira 100 golongan belia berhimpun bersama Dato Sri Julaihi Narawi menerusi program Sembang Santai di Perkarangan Dewan Pembangunan Sebuyau, pada Sabtu, yang turut menjadi ruang beliau merakamkan penghargaan kepada jentera parti dan masyarakat atas sokongan sepanjang Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-13 (PRN-13).
Program itu memberi peluang kepada beliau, yang juga Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, berinteraksi secara lebih dekat dengan golongan muda serta masyarakat setempat dalam suasana santai selepas selesai proses penamaan calon pada hari sama.
Dalam pertemuan itu, beliau menghargai komitmen golongan belia dan jentera parti yang memainkan peranan dalam memberikan sokongan sepanjang proses PRN-13 di kawasan Sebuyau.
Terdahulu, Dato Sri Julaihi diumumkan menang tanpa bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sebuyau selepas hanya satu kertas penamaan calon diterima oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Ayuradiman Bujang, di Dewan Serbaguna Pejabat Daerah Sebuyau.
Kemenangan itu menyaksikan beliau meneruskan khidmat sebagai wakil rakyat Sebuyau untuk penggal kelapan berturut-turut sejak pertama kali memenangi kerusi berkenaan pada 1991.
Ia juga merupakan kemenangan tanpa bertanding kali kedua beliau selepas pencapaian serupa pada PRN 1996. -EDISI UKAS