SPR Tinjau Kesiapsiagaan PNMB Cetak Bahan PRN Sarawak Ke-13
KUCHING: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meninjau tahap kesiapsiagaan Percetakan Nasional Malaysia Berhad (PNMB) dalam melaksanakan urusan percetakan bahan pilihan raya sebagai sebahagian daripada persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-13.
Lawatan yang diketuai Pengerusinya, Dato Sri Ramlan Harun itu bertujuan melihat secara dekat kemudahan, proses kerja serta persiapan percetakan yang dilaksanakan PNMB bagi menyokong kelancaran urusan pilihan raya.
Turut menyertai lawatan tersebut ialah Timbalan Pengerusi SPR, Dr Azmi Sharom, Ahli-Ahli SPR serta delegasi suruhanjaya berkenaan.
Menerusi lawatan itu, delegasi SPR berpeluang meninjau operasi percetakan serta mendapatkan gambaran mengenai kemudahan dan keupayaan PNMB dalam melaksanakan tugasan berkaitan pilihan raya.
Tinjauan berkenaan berlangsung sehari selepas SPR mengumumkan keputusan penamaan calon PRN Sarawak Ke-13 yang menyaksikan 29 daripada keseluruhan 82 kerusi DUN dimenangi tanpa bertanding oleh calon Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Dato Sri Ramlan ketika mengumumkan perkara itu pada 28 November berkata, sebanyak 168 calon disahkan layak bertanding, dengan baki 53 kerusi menyaksikan pertandingan.
Jumlah 29 kerusi yang dimenangi tanpa bertanding itu turut mencatat rekod tertinggi dalam sejarah PRN Sarawak, mengatasi rekod 19 kerusi pada 1996 dengan seramai 632,149 pengundi tidak perlu keluar mengundi pada hari pengundian kelak.
Bagi kerusi yang dipertandingkan, tempoh berkempen berlangsung selama 14 hari sehingga 11 Disember, manakala pengundian awal ditetapkan pada 8 Disember dan hari mengundi pada 12 Disember 2026. -EDISI UKAS