KUCHING: Amalan membaca merupakan asas penting dalam pembinaan masyarakat berilmu, berdaya saing serta mampu menyumbang kepada pembangunan negeri dan negara.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, budaya membaca perlu dipupuk secara berterusan dalam kehidupan seharian masyarakat.
Ujarnya, penganjuran program 'Jom Baca Bersama 10 Minit' yang diadakan setiap 23 April bersempena sambutan Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia bukan sekadar simbolik, malah membawa mesej besar untuk membudayakan amalan membaca dalam kehidupan seharian masyarakat.
“Walaupun hanya 10 minit diperuntukkan untuk membaca, impaknya amat besar. Ia boleh menjadi titik permulaan kepada pembentukan tabiat membaca yang konsisten sepanjang hayat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Jom Baca Bersama 2026 di Pustaka Negeri Sarawak pada Khamis.
Jelasnya, amalan membaca bukan sahaja meningkatkan ilmu pengetahuan, malah mampu memperkaya kosa kata, merangsang pemikiran kreatif dan kritis serta menjadi terapi minda dalam menghadapi tekanan kehidupan seharian.
Selain itu katanya, budaya membaca memainkan peranan penting dalam pembinaan bangsa.
Jelasnya, individu yang gemar membaca lazimnya lebih berilmu, matang dalam pemikiran serta mampu membuat keputusan yang lebih bijak, sekali gus menyumbang kepada pembangunan negeri dan negara.
Beliau turut menggalakkan agar amalan membaca dipupuk sejak kecil, termasuk mewujudkan sudut bacaan di rumah serta menjadikan membaca sebagai aktiviti bersama keluarga.
“Tanpa budaya membaca yang kukuh, sukar bagi sesebuah bangsa untuk maju dan bersaing di peringkat global,” tambah beliau -EDISI UKAS