SUKMA Wajar Diteruskan, Sarawak Sudah Buat Persiapan Rapi
KUCHING: Sarawak berharap temasya Sukan Malaysia (SUKMA) dapat diteruskan seperti dirancang susulan persiapan menyeluruh yang telah dilaksanakan lebih awal, termasuk komitmen kewangan yang besar serta pengorbanan atlet.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pelbagai persiapan termasuk logistik, tempahan penginapan serta latihan atlet telah dilaksanakan lebih awal.
Menurutnya, sebahagian atlet Sarawak juga telah dihantar menjalani latihan di dalam dan luar negara sebagai persediaan menghadapi temasya berkenaan.
“Apabila melibatkan Sarawak, harapan saya SUKMA diteruskan. Banyak yang telah dibelanjakan untuk persiapan termasuk logistik, tempahan hotel, homestay dan bayaran deposit.
“Malah atlet kita telah dihantar ke merata tempat termasuk ke luar negara untuk latihan. Jika ditangguhkan, ada antara mereka mungkin tidak dapat menyertai kerana had umur SUKMA adalah 21 tahun,” katanya dalam sidang media di sini pada Khamis.
Tambah Dato Sri Abdul Karim, sebarang keputusan sama ada SUKMA akan diteruskan atau ditangguhkan bergantung kepada Kementerian Belia dan Sukan Malaysia serta kerajaan negeri Selangor selaku tuan rumah.
Dalam perkembangan sama, beliau turut memaklumkan lawatan Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Dr. Mohammed Taufiq Johar ke Sarawak akan melibatkan tinjauan ke beberapa kemudahan sukan termasuk Stadium Sarawak dan Stadium Perpaduan Petra Jaya, selain program turun padang ke Kampung Semeba bagi bertemu masyarakat setempat.
Katanya, isu SUKMA dijangka akan turut dibangkitkan secara tidak rasmi sepanjang lawatan tersebut.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Grace John Lee
Foto: Sarah Nicole