Malaysia Technology Expo 2026: NREB Sarawak Raih Tiga Anugerah
KUALA LUMPUR: Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Sarawak mencatat pencapaian membanggakan apabila meraih tiga anugerah pada Malaysia Technology Expo (MTE) 2026 yang berlangsung di World Trade Centre Kuala Lumpur dari 9 hingga 11 April.
Anugerah yang diterima ialah Petrosains Special Award, Anugerah Perak di bawah Public Service Innovation Asia (PSIA) Award 2026 bagi pengiktirafan terhadap Sistem Pengurusan Gas Rumah Hijau (GHG-MS) serta Anugerah Gangsa bagi inisiatif PALS Club (Kelab Pencinta Alam Sekitar).
Petrosains Special Award dan Anugerah Gangsa tersebut diberikan kepada inovasi PALS Club yang memberi tumpuan kepada pengukuhan pendidikan alam sekitar melalui pengurusan data digital serta penglibatan interaktif.
Kontroler Kualiti Alam Sekitar Sarawak, Datu Jack Liam berkata penyertaan dalam MTE 2026 merupakan penglibatan pertama NREB dalam acara berprestij tersebut.
Menurut beliau, dua pasukan iaitu Enviro Warrior dan PALS Ranger telah dihantar bagi memperoleh pendedahan dengan hasrat memperluaskan penyertaan melibatkan lebih banyak pasukan serta projek pada masa hadapan.
Beliau turut menyatakan bahawa NREB beraspirasi untuk meraih pengiktirafan lebih meluas di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa selain memperkukuh budaya inovasi serta kreativiti dalam organisasi.
Tambah beliau, penggunaan teknologi baharu amat penting dalam meningkatkan penyampaian perkhidmatan termasuk menambah baik proses kerja serta memperkemas prosedur operasi standard (SOP) bagi memenuhi jangkaan pihak berkepentingan.
Penyampaian anugerah tersebut telah disempurnakan oleh Pengerusi Anugerah merangkap Presiden Malaysia Association of Creativity and Innovation (MACRI), Hussein Mohd Ariff, manakala NREB Sarawak diwakili Timbalan Pengawal (Operasi), ChM Penny Sumok.-EDISI UKAS