STATOS Sasar Meterai Perjanjian Perniagaan Di FHA 2027
SINGAPURA: Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak di Singapura (STATOS) menyasarkan sekurang-kurangnya lima syarikat Sarawak berjaya memeterai perjanjian perniagaan dengan pembeli antarabangsa pada penyertaan akan datang di Food & Hospitality Asia (FHA) 2027.
Pengerusinya, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani berkata, penyertaan Sarawak dalam platform seumpamanya kini beralih daripada sekadar pameran kepada pendekatan berorientasikan hasil, termasuk pemeteraian perjanjian perdagangan.
“Pada masa akan datang, kita bukan hanya mahu mempamerkan produk, tetapi memastikan lebih banyak perjanjian perniagaan dimeterai.
"Tahun hadapan, kita menyasarkan sekurang-kurangnya lima syarikat mencapai persetujuan dengan pembeli,” katanya ketika ditemubual Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) di Sarawak Pavilion, di sini pada Selasa.
Dalam pada itu, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi memberitahu, prestasi jualan pempamer Sarawak menunjukkan peningkatan memberangsangkan dari tahun ke tahun, dengan nilai jualan mencecah kira-kira RM24 juta pada tahun lalu.
Manakala, pada tahun ini, pihaknya menyasarkan peningkatan kepada RM35 juta, selaras dengan usaha memperkukuh kehadiran produk Sarawak di pasaran luar.
Jelasnya lanjut, Singapura merupakan pasaran strategik dan pintu masuk utama ke pasaran global yang membuka peluang kepada produk Sarawak untuk berkembang ke negara lain.
Sehubungan itu, tegas beliau, STATOS akan terus menggalakkan lebih banyak syarikat Sarawak yang bersedia untuk menyertai platform antarabangsa, selain memanfaatkan peluang jaringan dan teknologi bagi memperluas pasaran serta meningkatkan daya saing.
Pada edisi tahun ini, Sarawak Pavilion menampilkan 19 pempamer, dengan kira-kira 30 peratus daripadanya merupakan penyertaan kali pertama, mencerminkan peningkatan minat dalam kalangan usahawan tempatan untuk menembusi pasaran antarabangsa.
Pempamer yang terlibat merangkumi pelbagai kategori produk makanan dan minuman, termasuk minuman segera dan teh, lada Sarawak, produk berasaskan nanas SG1, mentega campuran, pes dan sos, makanan dalam tin, minuman kraf, sarang burung, ikan empurau, minyak Sacha Inchi, snek berasaskan tumbuhan serta produk bakeri.-EDISI UKAS