SeDidik & ToyEight Meterai MoA, Projek Perintis Saringan dan Intervensi Awal Kanak-Kanak Guna Teknologi AI
KUCHING: Kerajaan Sarawak terus memperkukuh usaha intervensi awal kanak-kanak melalui pemeteraian Memorandum Perjanjian (MoA) antara SeDidik Sdn Bhd bersama ToyBox Creations and Technologies Sdn Bhd (ToyEight Holdings Inc.) bagi melaksanakan program saringan perkembangan dan intervensi menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, inisiatif tersebut bertujuan memperluas akses penilaian awal kepada kanak-kanak prasekolah, khususnya yang tidak berpeluang mendapatkan perkhidmatan intervensi awal di One Stop Early Intervention Centre (OSEIC).
Jelasnya, OSEIC hanya mampu menampung kira-kira 100 kanak-kanak tetapi senarai menunggu sehingga 425 orang namun saringan digital dan intervensi membolehkan kanak-kanak yang memerlukan bantuan dapat dinilai melalui pembelajaran yang menyeronokkan.
“Kanak-kanak tidak merasakan bahawa mereka sedang dinilai kerana ia dijalankan melalui permainan. Begitu juga dengan intervensi, seperti yang disebut tadi, mereka seronok dan apabila masa tamat, mereka mahu lagi.
“Ini merupakan kaedah saringan yang sangat baik kerana intervensi juga disesuaikan dengan keperluan kanak-kanak mengikut usia mereka.
"Pembelajaran secara menyeronokkan dilakukan dalam persekitaran yang tidak membuatkan mereka rasa terancam atau dinilai, sebaliknya seperti sesi bermain,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas Majlis Memeterai MoA antara kedua-dua pihak yang berlangsung di OSEIC, Metrocity Matang pada Selasa.
Dato Sri Fatimah menambah, pendekatan baharu itu membolehkan guru yang telah dilatih mengendalikan saringan dan intervensi secara interaktif melalui kaedah pembelajaran berasaskan permainan, sekali gus menjadikan proses tersebut lebih menyeronokkan dan tidak menekan kanak-kanak.
Tambahnya, peruntukan sebanyak RM1.9 juta disalurkan bagi melatih guru-guru agar program tersebut dapat dilaksanakan secara mampan, termasuk melahirkan jurulatih utama yang mampu melatih tenaga pengajar lain.
Menurutnya, program ini akan memberi manfaat kepada 1,800 kanak-kanak SeDidik di seluruh negeri dan berpotensi diperluaskan kepada penyedia pendidikan awal lain seperti KEMAS, Perpaduan dan Kementerian Pendidikan bagi memberi peluang kepada kanak-kanak di pra-sekolah lain untuk mendapatkan penilaian dan intervensi yang sepatutnya.
“Kita melihat ini sebagai peluang yang sangat baik untuk kanak-kanak kita, maka ia diharapkan dengan hasil yang meyakinkan seperti projek perintis sebelum ini, kita dapat memperluaskan kepada penyedia pendidikan awal kanak-kanak lain supaya semua kanak-kanak Sarawak, khususnya yang mengalami kelewatan perkembangan dan pelbagai ketidakupayaan, mempunyai peluang untuk dinilai dan menerima intervensi,” katanya.
Hadir sama, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak Sarawak Datuk Rosey Yunus, Duta Besar Jepun ke Malaysia Noriyuki Shikata, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak (KPWKK) Nur Alina Abdullah @ Colliner Gohe, Pengarah Pejabat Wilayah Sarawak, Kementerian Luar Malaysia Dato Fenny Nuli, Pengurus Besar SeDidik Sdn Bhd Ayub Dahari, Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Bersama Toy Eight, Shun Matsuzaka serta Pengurus Besar OSEIC Sarawak, Dato Dr Saadiah Abdul Samat. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Muhd Naseem