Persiapan Special Olympics Malaysia Games 2026 Berjalan Lancar
KUCHING: Persiapan bagi penganjuran Sukan Kebangsaan Special Olympics Malaysia 2026 di Bintulu dilaporkan berjalan lancar dengan tahap kesiapsiagaan kini hampir 90 peratus.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, pelbagai aspek termasuk logistik, penginapan, pengangkutan serta majlis pembukaan dan penutupan telah dirancang rapi bagi memastikan kelancaran temasya tersebut.
“Walaupun kos semakin meningkat, kita tetap menerima penyertaan daripada negara luar serta atlet dari Semenanjung Malaysia yang akan mengambil bahagian dalam temasya ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas Majlis Memorandum Perjanjian (MoA) antara SeDidik Sdn Bhd bersama ToyBox Creations and Technologies Sdn Bhd (ToyEight Holdings Inc.) di One Stop Early Intervention Centre (OSEIC), Metrocity Matang pada Selasa.
Temasya tersebut yang dijadualkan bermula 24 hingga 26 April ini dijangka menghimpunkan lebih 700 peserta termasuk atlet, jurulatih dan pegawai dari 11 negeri serta Wilayah Persekutuan.
Sebanyak lapan acara sukan akan dipertandingkan merangkumi olahraga, renang, bocce, badminton, bola keranjang, bola sepak, tenis meja dan boling, dengan semua pertandingan diadakan di beberapa lokasi utama sekitar Bintulu.
Dato Sri Fatimah menambah, pemilihan Bintulu sebagai venue utama adalah berdasarkan kesiapsiagaan fasiliti sukan yang lengkap, selain mengambil kira kerja naik taraf kemudahan di Kuching ketika ini.
Mengulas mengenai Para Sukan Malaysia (Para SUKMA), beliau terpaksa akur dengan keputusan pihak Kerajaan Selangor sekiranya ia ditangguhkan namun beliau mengesyorkan pihaknya akan menghantar atlet-atlet yang bertanding sekiranya temasya tersebut masih diteruskan.
Dalam perkembangan berkaitan, Dato Sri Fatimah memaklumkan, lokasi bagi program OSEIC di Samarahan telah dikenalpasti di mana ia akan menjadi sebahagian daripada Kompleks Komuniti Keperluan Khas.
Katanya, kompleks tersebut akan menyediakan perkhidmatan menyeluruh merangkumi intervensi awal kanak-kanak, latihan kemahiran vokasional, kemudahan sukan serta penempatan kediaman bagi individu OKU yang memerlukan penjagaan.
“Ia bertujuan memenuhi keperluan golongan berkeperluan khas secara menyeluruh, dari lahir hingga akhir hayat,” jelas beliau.
Hadir sama, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak Sarawak Datuk Rosey Yunus, Duta Besar Jepun ke Malaysia Noriyuki Shikata, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak (KPWKK) Nur Alina Abdullah @ Colliner Gohe, Pengarah Pejabat Wilayah Sarawak, Kementerian Luar Malaysia Dato Fenny Nuli, Pengurus Besar SeDidik Sdn Bhd Ayub Dahari, Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Bersama Toy Eight, Shun Matsuzaka serta Pengurus Besar OSEIC Sarawak, Dato Dr Saadiah Abdul Samat. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Muhd Naseem