FTES Tuntut Komitmen Tinggi Pelajar, Bukan Sekadar Pendidikan Percuma
SIBU: Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) bukan lesen untuk pelajar bersikap sambil lewa, sebaliknya kegagalan menamatkan pengajian dalam tempoh ditetapkan boleh menyebabkan mereka menanggung sendiri kos pengajian yang tinggi.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat I, Datuk Dr Annuar Rapaee merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka menegaskan bahawa peluang pendidikan percuma yang ditawarkan oleh Kerajaan Sarawak datang bersama tanggungjawab besar yang tidak boleh dipandang ringan.
Tegasnya, sikap mengambil mudah terhadap sesuatu yang diperoleh secara percuma merupakan risiko serius yang boleh menjejaskan masa depan pelajar.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sesi Dialog Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) di Universiti Teknologi Sarawak (UTS) Sibu pada Selasa.
Menurut beliau, kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM250 juta bagi tahun ini untuk menjayakan skim berkenaan, sekali gus menuntut komitmen tinggi daripada pelajar untuk memanfaatkan peluang tersebut sepenuhnya.
Tambahnya, pelajar yang gagal menamatkan pengajian dalam tempoh ditetapkan perlu menanggung sendiri baki kos pengajian yang boleh menjadi beban kewangan besar kepada diri dan keluarga.
Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa peluang pendidikan percuma ini hanya datang sekali dalam hidup dan tidak pernah dinikmati oleh generasi terdahulu.
Selain pengecualian yuran pengajian, skim FTES turut menyediakan elaun sara hidup sebanyak RM15,000 setahun kepada pelajar yang layak.
Namun begitu, beliau mengakui terdapat kelewatan dalam penyaluran elaun pada peringkat awal pelaksanaan dan memaklumkan bahawa pihak Yayasan Sarawak sedang mengambil langkah segera untuk menambah baik proses tersebut.
Mengulas lanjut, beliau menjelaskan bahawa hanya 64 kursus ditawarkan buat masa ini kerana pelaksanaannya dibuat secara berperingkat berdasarkan keperluan tenaga kerja negeri serta prinsip ekuiti.
Sesi dialog tersebut dihadiri lebih 2,000 pelajar UTS yang layak menerima skim FTES yang juga merupakan kumpulan pertama.-EDISI UKAS