Kerajaan Sarawak Komited Sokong Pembangunan Rejimen Askar Wataniah Sarawak
KUCHING: Kerajaan Sarawak komited dalam memperkukuh pembangunan Rejimen Askar Wataniah Sarawak sebagai komponen penting dalam aspek pertahanan dan keselamatan negeri.
Komitmen tersebut dizahirkan menerusi Mesyuarat Pertama Jawatankuasa Pemerkasaan Askar Wataniah Sarawak (JPAWS) yang diadakan hari ini dan dipengerusikan oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) Lt Kol (K) Dato Sri Dr Muhammad Abdullah Zaidel.
Penubuhan JPAWS merupakan satu inisiatif strategik kerajaan negeri bagi memperkasakan peranan serta keupayaan Rejimen Askar Wataniah Sarawak dalam menghadapi cabaran keselamatan semasa.
Mesyuarat berkenaan memberi tumpuan kepada dua teras utama iaitu pemerkasaan sumber manusia serta penambahbaikan kemudahan infrastruktur.
Dalam ucapannya, Dato Sri Muhammad Abdullah menegaskan, kerajaan negeri akan terus menyokong pembangunan Rejimen Askar Wataniah Sarawak selaras dengan kepentingan strategik negeri.
Menurut beliau, usaha pemerkasaan ini penting bagi memastikan keselamatan, kestabilan dan kesejahteraan Sarawak sentiasa terpelihara.
Selain itu, perbincangan turut melibatkan keperluan menaik taraf kemudahan sedia ada bagi memastikan tahap kesiapsiagaan operasi yang lebih efektif dan mampan.
Turut hadir bersama wakil agensi Kerajaan Sarawak juga merupakan sebagai Ahli JPAWS, Datu Awang Zamhari Awang Mahmood, Datu Dr Cassidy Morris (secara maya), Datu Sharifah Rohana Datu Wan Alwi, Datu Ir. Ts. Awang Mohammad Fadillah Awang Redzuan dan Lt Kol Lim Bih Wei.
Mewakili pihak Askar Wataniah, Lt. Kol Budiman B. Zainal, Timbalan Komander Rejimen 510 Askar Wataniah dan Timbalan Komander Rejimen 511 Askar Wataniah Lt. Kol Khairul Aziz Abdullah (secara maya). -EDISI UKAS