Projek Naik Taraf Kemudahan Sukan SMK Belawai Siap Lebih Awal
BELAWAI: Kemudahan sukan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Belawai kini berwajah baharu selepas projek naik taraf di bawah Projek Mesra Rakyat (PMR) Parlimen Tanjong Manis berjaya disiapkan lebih awal daripada jadual asal.
Projek bernilai RM200,000 bagi tahun 2025 itu merangkumi pembinaan sebuah gelanggang futsal, dua gelanggang sepak takraw serta satu gelanggang bola jaring, yang pada asalnya dijadualkan siap pada Jun 2026.
Majlis penyerahan projek siap daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) kepada Jabatan Pendidikan telah disaksikan Ahli Parlimen Tanjong Manis, Dato Ir Yusuf Abd Wahab yang juga Pengerusi Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) pada Selasa.
Menurut beliau, kejayaan menyiapkan projek lebih awal membuktikan komitmen berterusan dalam memperkasa pembangunan infrastruktur pendidikan, khususnya di kawasan luar bandar.
“Projek ini sepatutnya siap pada bulan Jun, namun berjaya disiapkan lebih awal iaitu pada April dengan hasil kerja yang memuaskan, melibatkan empat gelanggang sukan untuk kegunaan pelajar,” katanya.
Beliau berkata, kemudahan tersebut amat diperlukan berikutan peningkatan minat dan penglibatan pelajar dalam bidang sukan, sekali gus berpotensi melahirkan atlet yang mampu mewakili sekolah hingga ke peringkat lebih tinggi.
Sebelum ini, kemudahan sukan di SMK Belawai dilaporkan uzur dan kurang terurus akibat kekangan peruntukan.
Sehubungan itu, usaha menaik taraf kemudahan berkenaan dilihat sebagai langkah proaktif dalam merancakkan aktiviti kokurikulum serta menyediakan persekitaran lebih kondusif untuk pembangunan bakat pelajar.
Dato Ir Yusuf turut melahirkan rasa gembira dengan kejayaan projek tersebut dan berharap kemudahan yang disediakan dapat dimanfaatkan sepenuhnya serta dijaga dengan baik oleh warga sekolah.
Terdahulu, beliau turut menghadiri dan menyempurnakan pelepasan peserta Kejohanan Merentas Desa Pendidikan Khas (KMDPK) MSS Kali Ke-5 Peringkat Negeri Sarawak 2026 yang berlangsung di Pantai Belawai.
Majlis itu turut dihadiri wakil-wakil jabatan, ketua kaum serta para guru.- EDISI UKAS