KUCHING: Jepun terus menyatakan minatnya untuk melabur di Sarawak dengan memfokuskan sektor seperti pendidikan inklusif, ekonomi hijau dan pembangunan modal insan.
Perkara itu dinyatakan oleh Duta Jepun ke Malaysia, Shikata Noriyuki semasa mengadakan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di Kompleks Satria Pertiwi, di sini, pada Rabu.
Menurut beliau, Sarawak kini menjadi lokasi penting bagi pelaburan baharu, termasuk dalam sektor tenaga boleh diperbaharui seperti hidro dan biomas, selain pemindahan teknologi Jepun ke negeri ini.
"Pertemuan hari ini amat berpandangan jauh, dan saya percaya mesej galakan daripada Premier Sarawak kepada komuniti perniagaan Jepun untuk melabur di sini akan terus memperkukuh hubungan antara Jepun dan Sarawak," katanya dalam sidang media selepas kunjungan hormat tersebut.
Shikata menambah, pelaburan Jepun juga dijangka memberi penekanan kepada pembangunan modal insan melalui latihan industri, sokongan kepada institusi pengajian tinggi serta penggunaan teknologi baharu dalam pendidikan.
Selain itu, beliau memberitahu, pendekatan baharu dalam pendidikan awal kanak-kanak juga diketengahkan, termasuk penggunaan teknologi dan permainan video sebagai medium pembelajaran.
Jelasnya, penyelesaian oleh ToyEight yang memanfaatkan platform seperti Nintendo dilihat mampu membantu intervensi masalah pembelajaran awal kanak-kanak selain turut dapst melahirkan generasi masa depan yang lebih bersedia menghadapi keperluan industri baharu.
"Oleh itu, kami berharap dapat melihat kerjasama yang lebih erat dalam melabur bagi melahirkan generasi baharu di Sarawak," ujar beliau.
Semalam, satu Memorandum Perjanjian (MoA) telah dimeterai antara SeDidik Sdn Bhd bersama ToyBox Creations and Technologies Sdn Bhd (ToyEight Holdings Inc.) bagi melaksanakan program saringan perkembangan dan intervensi menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Inisiatif tersebut bertujuan memperluas akses penilaian awal kepada kanak-kanak prasekolah, khususnya yang tidak berpeluang mendapatkan perkhidmatan intervensi awal di One Stop Early Intervention Centre (OSEIC).
Hadir dalam kunjungan tersebut, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Dato Sri Fatimah Abdullah, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Datuk Rosey Yunus, Pengarah Pejabat Wilayah Sarawak, Kementerian Luar Malaysia Dato Fenny Nuli, Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Bersama Toy Eight, Shun Matsuzaka serta dif kenamaan lain. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Hazrin Sunaini