TYT Sarawak dan Isteri Terima Kunjungan Hormat Persatuan Kebangsaan Orang Ulu Sarawak
KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi menerima kunjungan hormat daripada delegasi Persatuan Kebangsaan Orang Ulu Sarawak (OUNA) di Astana Sarawak pada Rabu.
Kunjungan tersebut diketuai oleh Presiden OUNA, Dato Dr. Abu Bakar Abdullah @ Tom Belarek.
Kunjungan hormat ini diadakan bagi menyampaikan warkah jemputan rasmi kepada Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi serta Toh Puan sebagai Tetamu Kehormat ke Majlis Makan Malam Kesyukuran sempena Sambutan Jubli Intan 60 Tahun OUNA yang dijadualkan berlangsung pada Julai ini di Miri.
Dalam sesi pertemuan tersebut, Tun Pehin Sri turut berkongsi pengalaman beliau ketika berkhidmat dalam pasukan Polis Hutan di mana anggota pasukannya kebanyakannya terdiri daripada kaum Iban dan Orang Ulu.
Selain itu, beliau turut berkongsi pelbagai kisah termasuklah cabaran bertugas di kawasan pedalaman serta kepentingan disiplin, ketahanan diri dan semangat kerjasama dalam menjalankan amanah.
Perkongsian tersebut memberikan inspirasi kepada para hadirin, khususnya dalam menjaga kepentingan perpaduan masyarakat berbilang kaum di negeri ini.
Dalam pada itu, Tun Pehin Sri dan Toh Puan menzahirkan penghargaan atas kunjungan yang diadakan.
Sesi pertemuan tersebut juga mencerminkan komitmen berterusan OUNA dalam memperkukuh perpaduan serta memartabatkan komuniti Orang Ulu di Sarawak.
Turut hadir ialah ahli-ahli jawatankuasa pusat OUNA, Lade Kulong, Ketua Kaum Renly Gau, Ibau Emang, Kaunselor Philip Anyi, Andrious Ding, Laing Budah, Kaunselor Angelie Raymond, Nursofiatulnisa Adillah Abdullah, Anyie Wan @ Anyi Wan Ului, John Usang Jau, Rose Bara, Maxwell Laing, Arthur Lee Cheng Chuan, Salih Sulaiman dan Langai Maran.-EDISI UKAS