Sarawak Perintis Program Saringan Digital Kanak-Kanak Berasaskan AI
KUCHING: Sarawak bakal menjadi perintis dalam pelaksanaan program saringan digital kanak-kanak berasaskan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang dilaksanakan melalui pendekatan permainan, hasil kerjasama dengan syarikat Jepun, ToyEight.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, program tersebut merupakan yang pertama di Malaysia dan berkemungkinan juga yang pertama di rantau ini.
"Diharapkan Sarawak akan menjadi yang pertama melaksanakan model ini secara menyeluruh.
"Menurut Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Bersama Toy Eight, Shun Matsuzaka, selepas pelaksanaan projek perintis sebelum ini, program kerjasama bersama SeDidik dijangka siap dan sedia dilaksanakan sepenuhnya menjelang Jun 2027," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas kunjungan hormat ke atas Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di Kompleks Satria Pertiwi, di sini, pada Rabu.
Semalam, satu Memorandum Perjanjian (MoA) telah dimeterai antara SeDidik Sdn Bhd bersama ToyBox Creations and Technologies Sdn Bhd (ToyEight Holdings Inc.) bagi melaksanakan program saringan perkembangan dan intervensi menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Dato Sri Fatimah menambah, analisis impak akan dijalankan setelah program kerjasama dijalankan dengan hasil projek perintis sebelum ini mempunyai impak yang sangat positif.
Ujarnya, model ini juga berpotensi untuk diperluaskan bukan sahaja di Sarawak, malah ke luar Sarawak termasuk di Jepun sendiri.
"Jika sebelum ini kita melihat kepada Jepun sebagai rujukan, kini Jepun juga boleh melihat kepada apa yang dilaksanakan di Sarawak," jelas beliau. -EDISI UKAS
Disediakan Oleh: Ahmad Daniel Faiz
Gambar: Hazrin Sunaini