18 Peserta Sertai Tilawah Al-Quran Peringkat Daerah Gedong
GEDONG: Seramai 18 peserta terdiri daripada 11 qari dan tujuh qariah menyertai Pertandingan Tilawah Al-Quran Peringkat Daerah Gedong Tahun 1447H/2026M yang berlangsung di Masjid Al-Kawthar pada Selasa.
Majlis tilawah yang berlangsung sehari itu membawa tema “Ummah Maju Makmur, Insan Berilmu Menjulang Kelestarian Alam” yang menekankan kepentingan melahirkan masyarakat berilmu, sejahtera serta prihatin terhadap kelestarian alam sekitar.
Pegawai Daerah Gedong, Jamain Wahab ketika berucap berkata, pertandingan tersebut bukan sahaja menjadi platform mencungkil bakat qari dan qariah tempatan malah memperkukuh semangat mencintai al-Quran dalam kalangan masyarakat Islam di daerah itu.
Menurut beliau, program berkenaan juga merupakan pusingan pertama melibatkan lima daerah di bawah pentadbiran Bahagian Samarahan.
“Saya mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua peserta yang berani tampil memperdengarkan bacaan al-Quran masing-masing serta merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat menjayakan majlis ini,” katanya.
Beliau turut memaklumkan program yang pada asalnya dirancang berlangsung selama dua hari telah diselaraskan kepada sehari atas sebab tertentu namun tetap berjaya dilaksanakan dengan baik.
Dalam pada itu, beliau berharap wakil dari Daerah Gedong akan berjaya mara ke peringkat bahagian yang dijadualkan berlangsung di Daerah Simunjan pada 6 hingga 7 Mei depan.
Jamain turut mengingatkan bahawa tilawah al-Quran bukan sekadar pertandingan suara dan tarannum, sebaliknya lebih penting ialah penghayatan terhadap isi kandungan kitab suci tersebut.
Beliau juga menggalakkan masyarakat agar terus mendampingi al-Quran sepanjang tahun dengan meluangkan masa sekurang-kurangnya 15 hingga 30 minit sehari untuk membaca walaupun sibuk dengan urusan harian.
Bagi kategori qari, johan dimenangi Salleh Gembi dari Kampung Lubok Punggor, manakala kategori qariah dimenangi Nor Basitah Bahar dari Kampung Ensengai Melayu.
Kedua-dua pemenang membawa pulang wang tunai RM700, sijil, plak dan hadiah sampingan.
Naib johan kategori qari dimenangi Sharip Cipet dari Kampung Kanchong Jaya Gedong, manakala kategori qariah dimenangi Siti Khadizah Hasan dari Kampung Perentah Gedong.
Masing-masing menerima wang tunai RM500, sijil, plak dan hadiah sampingan.
Tempat ketiga kategori qari dimenangi Ramlee Nor dari Kampung Kanchong Baru Gedong, manakala kategori qariah dimenangi Nur Hasnida Hipni dari Kampung Lubok Punggor yang menerima RM300 beserta sijil, plak dan hadiah sampingan.
Manakala, peserta lain turut menerima saguhati berupa wang tunai RM100. -EDISI UKAS