Program STEM Catalyst 2026 Perkasa Minat Pelajar Terhadap Sains dan Teknologi
PUSA: Program STEM Catalyst 2026 mampu memperkasa minat serta pendedahan pelajar terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), khususnya di kawasan luar bandar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro, Dato Razaili Gapor berkata, penganjuran program tersebut yang berlangsung di SJK Chung Hua, Pusa pada Rabu amat bertepatan dalam usaha memberi pendedahan awal kepada pelajar mengenai kepentingan teknologi dan kemahiran masa depan.
Menurut beliau, ilmu serta kemahiran dalam bidang STEM kini menjadi keperluan penting selaras dengan perkembangan semasa, sekali gus membuka peluang lebih luas kepada pelajar dalam pasaran pekerjaan pada masa hadapan.
“Pelajar di kawasan ini perlu merebut peluang untuk mempelajari ilmu ini kerana ia mampu menjamin masa depan yang lebih cerah,” katanya ketika berucap pada program berkenaan.
Program anjuran Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD) itu merupakan satu inisiatif karnival mudah alih yang membawa pengalaman pembelajaran ICT dan STEM secara interaktif terus ke sekolah.
Ia bertujuan mencetus minat serta rasa ingin tahu dalam kalangan pelajar terhadap bidang STEM melalui pendekatan yang lebih menarik dan praktikal.
Selain itu, program tersebut turut menjadi platform mempromosikan pelbagai inisiatif pendidikan lain seperti Yayasan Rolf Schnyder, Pandai.org, Matematik Kangaroo dan Bright Sparks SRDC yang menyasarkan penglibatan murid di kawasan luar bandar.
Dalam pada itu, Dato Razaili turut memaklumkan bahawa Kerajaan Sarawak terus komited dalam memperkasa pendidikan, termasuk menyediakan pelbagai bantuan kepada anak Sarawak serta menawarkan pendidikan percuma mulai tahun 2026 bagi mereka yang melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.
Turut hadir Penolong Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Unit Pembelajaran PPD Betong, Azman Mantaril, Guru Besar SJKC Chung Hua Pusa, Goh Mia Set serta Guru Besar SK Tambak, Shah Fahdir Drahman.- EDISI UKAS