LHDN Adakan Kunjungan Hormat Kepada TYT Sarawak dan Isteri, Perkukuh Agenda E-Invois
KUCHING: Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) mengadakan kunjungan hormat ke atas Yang Di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi di Astana Negeri Sarawak, pada Rabu.
Delegasi LHDN diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin, yang turut disertai barisan kepimpinan kanan termasuk Pengarah Negeri Sarawak, Abang Ehsan Abang Abu Bakar serta pegawai-pegawai operasi negeri.
Menurut beliau, kunjungan tersebut bertujuan memperkenalkan kepimpinan LHDN di Sarawak kepada Tun Pehin Sri di samping berkongsi perkembangan semasa berkaitan prestasi kutipan cukai serta pelaksanaan pelbagai inisiatif LHDN di negeri ini.
Dalam pertemuan tersebut pihak LHDN turut menerangkan prestasi percukaian di Sarawak serta
aktiviti-aktiviti utama LHDN termasuk pelaksanaan e-invois yang kini menjadi antara fokus utama organisasi.
Jelasnya pelaksanaan e-invois kini telah memasuki fasa keempat yang melibatkan penyertaan syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS/SME).
Sehubungan itu katanya, LHDN Sarawak akan terus mempergiat usaha memberikan bimbingan dan sokongan kepada golongan SME di seluruh negeri bagi memastikan mereka bersedia serta mampu mengadaptasi sistem e-invois dengan berkesan.
Kunjungan tersebut mencerminkan komitmen berterusan LHDN dalam memperkukuh hubungan strategik dengan institusi negeri serta memastikan pelaksanaan dasar percukaian negara berjalan lancar di peringkat negeri Sarawak.-EDISI UKAS