100 Wanita Sertai Seminar Pertahanan Diri, Tingkat Kesedaran Gangguan Seksual
KUCHING: Seramai 100 wanita daripada pelbagai peringkat umur menyertai Seminar Pemerkasaan Pertahanan Diri Wanita yang diadakan di Tebingan Sungai Kuching pada Ahad lepas.
Seminar percuma sempena Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) itu diadakan sempena Kejohanan Muaythai Piala TYT Yang Di-Pertua Negeri Sarawak Edisi Ke-10 2026 & Piala Borneo 2026.
Ia berjaya menghimpunkan peserta seawal usia 10 tahun hingga 55 tahun, membuktikan kesedaran terhadap isu keselamatan diri dan gangguan seksual semakin meningkat dalam kalangan masyarakat.
Dua jaguh sukan tempur dari Sarawak, Amisha dan Jihin Radzuan diberi tanggungjawab untuk mengendalikan seminar tersebut yang bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai gangguan seksual selain memberi pendedahan asas teknik pertahanan diri.
Peserta diajar kaedah praktikal untuk melepaskan diri sekiranya berdepan situasi berisiko.
Presiden Persatuan Muaythai Negeri Sarawak (PMNS) Jumaat Ibrahim menyifatkan seminar tersebut sangat mustahak penting khasnya kepada golongan waniat untuk melengkapkan mereka dengan kemahiran asas mempertahankan diri.
“Walaupun ia sekadar peringkat pengenalan, namun ilmu yang dikongsikan oleh dua tenaga pengajar kita sangat berguna khasnya kepada kaum wanita untuk melindungi diri dan paling penting meningkatkan keyakinan mereka apabila berdepan situasi berbahaya,” ujarnya.
Katanya, penerimaan menggalakkan daripada peserta membuktikan kaum wanita menunjukkan minat tinggi untuk mempelajari kemahiran tersebut dengan lebih mendalam.
Justeru katanya, PMNS menyambut baik saranan agar seminar sama diteruskan dengan lebih kerap dan diperluaskan ke seluruh negeri di masa akan datang.
Selain seminar, pengisian program sempena hari terakhir kejohanan itu dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti kesihatan antaranya senamrobik komuniti, saringan kesihatan dan fizikal, demonstrasi Tai Chin, Jualan Rahmah Madani dan banyak lagi. - EDISI UKAS